SEBELUM ini tular seorang personaliti media sosial mendedahkan sisi gelap suaminya yang sering melakukan keganasan rumah tangga, bahkan berlaku curang sepanjang tempoh perkahwinan mereka.
Apa yang lebih mengejutkan, wanita yang dikenali sebagai Cut Intan Nabila berkongsikan video menunjukkan suaminya menendang anak ketiganya yang baru berusia satu minggu.
Masalah rumah tangga yang dirahsiakan selama lima tahun lalu itu akhirnya dibongkarkan selepas suaminya, Armour Toreador dikatakan masih bermain kayu tiga dibelakangnya.
"Selama ini saya bertahan kerana anak, ini bukan kali pertama berdepan dengan keganasan rumah tangga. Ada puluhan video lain yang saya simpan sebagai bukti.
"Lima tahun berkahwin, banyak nama wanita mewarnai rumah tangga kami. Bahkan ada juga beberapa rakan saya," ujarnya.
Intan yang juga bekas atlet fencing Indonesia itu berkata, beliau sudah tidak mampu bertahan terhadap sikap suaminya yang panas baran dan mahu menggunakan platform media sosialnya untuk membela diri.
"Saya sudah berkali-kali memaafkan tapi tak pernah terbuka hatinya, ternyata benar kecurangan dan kekerasan rumah tangga tidak akan pernah berubah," ujarnya.
Selepas tersebarnya rakaman CCTV berkenaan, Armour bertindak keluar dari kediamannya untuk melarikan diri pada petang semalam.
Bagaimanapun, pergerakan lelaki itu dapat dihidu pihak berkuasa selepas dirinya ditahan menyorok di sebuah hotel di sekitar Kota Bandung, Indonesia.
Selepas ditahan pihak polis, bapa kepada tiga orang anaknya berkata, dia mengakui telah melakukan keganasan terhadap isterinya sejak 2020.
Armour memberitahu, aktiviti penganiayaan itu diketahui seluruh keluarga dan mertuanya.
Apa yang lebih menyedihkan, Armour sering memukul isterinya di depan kesemua anak-anaknya.
Untuk rekod, Intan dan Armour mendirikan rumah tangga sejak 2019. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan tiga orang cahaya mata.