Wanita 59 tahun lahirkan anak lelaki kerana sunyi

Iklan
Zou melalui pelbagai rintangan kesihatan untuk melahirkan si kecil ke dunia (Foto: Sohu)

IBU bertuah! Itulah gambaran paling sesuai buat seorang wanita berusia 59 tahun yang kini bergelar ibu selepas lama hidup bersendirian. Rasa sunyi yang dipendam bertahun-tahun mendorongnya membuat keputusan untuk memiliki zuriat lagi.

Memetik South China Morning Post, ibu dikenali sebagai Zou selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.2 kilogram di  Zhangjiagang No 1 People’s Hospital yang terletak di wilayah Jiangsu, timur China pada 9 Januari lalu sekali gus menjadikan dia sebagai ibu paling tua di sana, lapor  media tempatan jsnews.org.cn.

Iklan
Iklan

Zou sebelum ini mempunyai seorang anak perempuan dewasa yang menetap di luar negara. Idea untuk memiliki seorang lagi anak tercetus dua tahun lalu selepas dia dan suaminya sering berasa sunyi seiring berlalunya waktu.

Selepas membuat keputusan tersebut, Zou mula menjaga kesihatan dan membuat persediaan rapi untuk hamil. Tahun lalu, dia berjaya mengandung hasil teknologi persenyawaan in vitro (IVF).

Iklan

Atas faktor usia, pihak hospital menyediakan pelan pengurusan kesihatan menyeluruh sepanjang tempoh kehamilannya. Pakar Obstetrik dan Ginekologi hospital berkenaan, Dr Guo Huiping, berkata kehamilan Zou berisiko tinggi kerana peningkatan kemungkinan komplikasi serta keabnormalan janin.

Foto: Sohu, South China Morning Post

Iklan

Artikel berkaitan:

Usia 58 tahun bukan halangan – Wanita ini selamat timang anak kedua menerusi IVF

“Zou berusia 59 tahun dan tergolong dalam kategori wanita hamil sangat berusia, dengan risiko komplikasi kehamilan yang meningkat dengan ketara,” katanya.

Zou pula menggambarkan dirinya seolah-olah seekor panda yang dijaga rapi oleh doktor, dengan pemantauan kesihatan berterusan melalui peringatan dan mesej berkala.

Sepanjang kehamilan, Zou berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan darah yang tidak stabil, masalah buah pinggang, paras albumin dan asid urik yang tinggi dan pembengkakan serius pada kaki. 

“Dia seorang ibu yang berani kerana sanggup menghadapi cabaran besar ini,” kata Guo.

Laporan itu bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai suami atau anak perempuan Zou.

Kisah wanita melahirkan anak pada usia matang sering mencetuskan perhatian di media sosial China. 

Disember lalu, seorang wanita berusia 62 tahun di wilayah Jilin turut menjadi tumpuan selepas dilaporkan hamil dengan alasan mahu mempunyai anak kedua selepas anak tunggalnya meninggal dunia pada Januari 2025.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Beijing mengumumkan bahawa mulai tahun ini, wanita bersara boleh menuntut bayaran pemeriksaan pranatal melalui skim insurans kesihatan awam sebagai langkah yang dilihat sebagai usaha menyokong kelahiran dalam kalangan wanita berusia selari dengan cabaran masyarakat semakin menua.

Kisah Zou mencetuskan perdebatan hangat dalam talian. Ada yang berpendapat keputusan itu tidak wajar kerana kekangan tenaga untuk membesarkan anak, manakala segelintir lain melihatnya sebagai alternatif dalam menghadapi tekanan kadar kelahiran rendah, memandangkan golongan pesara mempunyai masa dan jaminan pencen.

Sumber: South China Morning Post