PUTERA Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen, mengumumkan bahawa baginda dan isteri, Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam, selamat menimang cahaya mata pertama mereka.
Memetik Media Permata, Anisha selamat melahirkan seorang puteri pada 8.50, hari ini.
Kelahiran cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah, disambut penuh istiadat apabila sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan sebagai tanda kesyukuran dan meraikan detik bersejarah tersebut.
"Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan ini memaklumkan bahawasanya Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam, isteri kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, dengan izin ALLAH SWT, telah selamat meluaran seorang Puteri pada Ahad, 20 Syaaban 1447, bersamaan 8 Februari 2026.
"Berikut dengan meluaran ini sebanyak 17 das tembakan meriam telah dilepaskan di perkarangan Istana Nurul Iman," menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Pengiran Muda Abdul Mateen bertitah berkongsi kehamilan anakanda sulung pada Oktober tahun lalu.
Ruangan komen dibanjiri ucapan tahniah daripada warganet yang turut berkongsi rasa gembira menerima khabar berkenaan.
Sekadar info, Pengiran Muda Abdul adalah anakanda ke-10 daripada 12 orang adik-beradik dan merupakan putera keempat kepada Sultan Hassanal Bolkiah.
Pasangan diraja berkenaan yang dahulunya rakan sejak kecil diijabkabulkan pada 11 Januari 2024.