TULAR di media sosial kisah seorang lelaki yang meninggal dunia selepas dua minggu arwah isterinya pergi menghadap Ilahi.
Berita kematian Safry Roslan mendapat perhatian warga maya apabila pemergiannya seolah-olah menyusul isteri tercinta.
Isterinya, Allahyarham Airyn Darwisa, 25 tahun dilaporkan meninggal dunia pada 30 Julai lalu ketika bertarung nyawa melahirkan anak keempat mereka.
Arwah Safry yang berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent (HDOK) pada 2.50 pagi Selasa.
Adik kepada Safry, Jefrie Roslan dalam satu perkongsian berkata, arwah abangnya berubah sikap selepas pemergian isterinya.
Jefrie memaklumkan, arwah sempat bersalaman dan meminta maaf kepada rakan sekerja selain sempat makan bersama serta menjamu ahli keluarganya.
Pada malam pemergiannya pula, Safry kelihatan sihat dan tidur sekitar hampir jam 12 tengah malam. Namun, beberapa kali mengigau sehingga terpaksa dibangunkan.
"Tidak lama kemudian, tiada kedengaran suara dia mengigau dan terus senyap. Kami pantau keadaannya tetapi dia seperti tidak sedarkan diri.
"Dia sedar sekejap dan menarik nafas kemudian diam. Dalam tiga kali dia begitu," katanya.
Oleh itu, Safry telah dikejarkan ke hospital dan disahkan kritikal sebelum dimaklumkan doktor bahawa abangnya telah meninggal dunia.
Bercerita lanjut, arwah abangnya juga pernah bercerita bertemu isterinya dalam mimpi seperti mengajak abangnya ke 'Rumah baharu'.
Bagaimanapun, Jefrie dan keluarga tidak menyangka yang bukan-bukan, sebaliknya menganggap abangnya itu amat merindui kakak iparnya.
Mengimbau nasib anak yang baru dilahirkan,Jefrie berkata dia bertanggungjawab untuk menjaga bayi tersebut bersama isterinya.
Manakala, tiga lagi anak saudaranya kini dijaga oleh nenek mereka.
Terdahulu, pemilik akaun Tiktok Abam Botak memuat naik satu video memaparkan van jenazah yang dipercayai bagi menguruskan jenazah Safry.
Abam Botak atau dikenali sebagai Yunizam Yusop berkata, dia tidak menyangka bakal menguruskan jenazah Safry kerana baru sahaja menguruskan jenazah isteri Allahyarham dua minggu lalu.