‘CGPA 4.00 untuk arwah abah’ – Anis Suraya genggam ijazah sarjana, sasar sambung PhD

Iklan

PENYANYI Anis Suraya membuktikan pengalaman lebih dua dekad dalam industri muzik bukan penghalang untuk terus menimba ilmu apabila berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Lebih bermakna, kejayaan itu turut disertai keputusan cemerlang apabila penyanyi yang pernah dinobatkan sebagai Juara Voice of Asia 2000 itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.00.

Iklan
Iklan

Bukan sekadar pencapaian peribadi, Anis atau nama sebenarnya, Tengku Anis Suraya Tengku Abdullah, mendedikasikan kejayaan tersebut buat Allahyarham bapanya, Tengku Abdullah Sulaiman yang telah kembali ke rahmatullah pada 14 Ogos 2020.

Foto: Instagram Anis Suraya

Iklan

Menerusi perkongsian di media sosial, Anis meluahkan rasa syukur selain merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh pengajiannya.

"Terima kasih kepada pensyarah atas bimbingan sepanjang pengajian, kepada suami dan anak-anak atas pengertian dan sokongan, Anis Ctr Fans, keluarga, sahabat dan rakan seperjuangan yang sentiasa mendoakan saya.

Iklan

Menerima skrol pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-28, Anis berkongsi pengalaman sepanjang mengikuti pengajian menerusi podcast UPSI, penyanyi Kasih Tersimpul Rapi itu menyifatkan peluang menyambung pelajaran sebagai satu pengalaman baharu yang membuka perspektif berbeza terhadap perjalanan seninya.

Menurutnya, pengajian dalam bidang Pengajian Persembahan bukan sahaja memberi ruang untuk mendalami ilmu secara akademik, malah mengajarnya menterjemahkan pengalaman praktikal dalam industri kepada bentuk penulisan ilmiah.

Justeru, beliau menyifatkan laluan akademik menerusi Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (APEL.Q) wajar dipertimbangkan penggiat seni yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri.

"Jangan sia-siakan pengalaman yang ada. Peluang yang ada ini sebenarnya sangat bermakna," katanya.

Bukan itu sahaja, Anis turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan buku berdasarkan pengalaman sepanjang bergelar anak seni.

Jelasnya, pengalaman bekerja di hadapan dan belakang pentas termasuk mengenali selok-belok pengurusan acara serta keseluruhan perjalanan sesebuah produksi merupakan ilmu berharga yang wajar didokumentasikan.

Anis Suraya bersama suami dan empat orang cahaya matanya

"Saya rasa benda itu perlu saya ilmiahkan dalam bentuk buku.

"Sebab saya rasa perkara seperti itu tidak ada dalam subjek di kelas-kelas kuliah. Jadi, saya rasa wajar diketengahkan," ujarnya.

Bagi Anis, pengalaman s penggiat seni bukan hanya terbatas kepada kebolehan menyanyi atau berlakon, sebaliknya turut merangkumi pelbagai aspek teknikal dan kemahiran yang membentuk sesebuah persembahan.

Dalam pada itu, penyanyi berkenaan tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekiranya mempunyai kesempatan.

"Insya-ALLAH, kalau masa mengizinkan saya akan teruskan perjuangan saya ke peringkat PhD," katanya.

Terdahulu, Anis yang merupakan sepupu kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menceburi bidang seni nyanyian pada tahun 1998 selepas menyertai Sinaran Pasport Kegemilangan 1996.

Sumber: TikTok UPSI