PENYANYI Tomok membuktikan usia bukan penghalang untuk terus menimba ilmu apabila berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan pada usia 42 tahun.
Menerusi satu hantaran di Threads, vokalis kumpulan New Boyz itu berkongsi momen bermakna sekitar Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-28.
Memuat naik kapsyen pendek 'Alhamdulillah', hantaran di laman sosial Threads miliknya menerima lebih 80,000 tanda suka!
Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan menerusi laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (APEL.Q).
Berkongsi mengenai pencapaian itu dalam wawancara podcast UPSI, bapa kepada tiga cahaya mata berkenaan berkata, keputusan menyambung pengajian bukan semata-mata untuk memajukan diri, malah mahu menjadi contoh kepada anak-anak yang sedang membesar.
Malah, penyanyi yang mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam industri muzik itu turut berharap pencapaiannya dapat memberikan inspirasi kepada peminat serta orang ramai untuk tidak menjadikan faktor usia sebagai alasan berhenti menuntut ilmu.
"Usia ni bukan satu penghalang, walaupun sudah berusia 42 tahun tapi saya masih lagi berusaha untuk majukan diri. Saya boleh kenapa anda tak boleh.
"So saya harapkan kepada mereka yang tergerak hati sambung belajar, usia itu bukan menjadi penghalang, kena semangat. Ilmu perlu dicari untuk majukan diri bagi menjadi lebih baik," katanya.
Artikel penuh:
- Tomok teruja sambung ijazah sarjana, pilih bidang pengajian persembahan
'Hingga ke syurga...' Baru balik haji, ucapan isteri Tomok ...
Dalam pada itu, Tomok tidak menafikan komitmen terhadap keluarga dan kerjaya seni menjadi antara cabaran sepanjang tempoh pengajian.
Bagaimanapun, penyanyi itu bersyukur kerana bidang yang dipelajari merupakan cabang seni yang sudah sebati dengan dirinya.
"Bagi saya ialah keluarga, show dan sebagainya tetapi saya okay kerana ini bidang pengajian saya ini bidang saya sendiri iaitu seni.
"Untuk masters ini belajar dan present dalam bidang sendiri, bagi saya Alhamdulillah tidak menjadi satu masalah sangat," kongsinya.
Untuk rekod, Tomok terlebih dahulu menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada November 2023 dengan cemerlang sehingga menerima selempang emas.
Dia kemudian memulakan pengajian peringkat sarjana di UPSI pada April 2025
Tomok yang berkahwin dengan isterinya, Ayu Abas pada 2011 memiliki tiga cahaya mata iaitu Arrian Shah Akid, 14, Andra Shah Iman, 12, dan Siti Khadijah, 6.
Sumber: Threads, TikTok UPSI