Guna isi durian sebenar! Buat stok lempuk di rumah, boleh makan bila-bila masa walaupun bukan musim raja buah

Iklan

APABILA tiba musim durian, muncul peniaga-peniaga kecil yang menjaja di tepi jalan menjual buah tersebut. Untungnya untuk tahun ini, harga durian kebanyakannya dijual murah berbanding tahun sebelumnya.

APABILA tiba musim durian, muncul peniaga-peniaga kecil yang menjaja di tepi jalan menjual buah tersebut. Untungnya untuk tahun ini, harga durian kebanyakannya dijual murah berbanding tahun sebelumnya.

Jadi, setiap lapisan masyarakat mampu untuk membeli raja buah itu. Malah, ada juga yang asingkan dan menyimpan durian tersebut di dalam peti sejuk bahagian sejuk beku durian untuk dinikmati kemudian hari atau dijadikan juadah lain.

Iklan
Iklan

Misalnya, boleh dibuat lempuk durian, iaitu sejenis makanan yang diperbuat daripada isi raja buah itu.

Kebiasaannya, durian yang tidak habis dimakan atau kurang elok akan dimasak bersama gula sehingga kental dan sebati.

Iklan

Asalnya, makanan itu tercipta kerana orang zaman dahulu tiada peti sejuk untuk menyimpan lebihan durian.

Maka, wujudlah lempuk iaitu sejenis makanan yang menyimpan rasa buah tersebut untuk jangka masa yang lama. Apabila bukan musim, mereka boleh menggunakannya sebagai bahan campuran dalam masakan sekiranya memerlukan rasa dan aroma berkenaan.

Iklan

Siapa sangka, lempuk itu boleh menjadi sumber mata pencarian kepada Ainnur Fatin Mohd Annuar. Daripada hanya menjual secara kecil-kecilan, ia mendapat sambutan luar biasa setelah cuba dikomersialkan menerusi dalam talian seperti di medium Facebook dan Shoppe menerusi jenama Lempuk Durian Pior.

”Pada mulanya lempuk ini dibuat oleh nenek di kampung, namun saya mengambil alih dan meneruskan legasi turun-temurun itu sehingga sekarang.

”Dalam penyediaan lempuk ini, resipi berkenaan adalah daripada nenek saya yang mana hanya menggunakan isi durian sepenuhnya dan rasanya hanya manis-manis buah yang menepati cita rasa pelanggan,” katanya.

Mungkin ada yang beranggapan lempuk durian dengan dodol adalah sama terutama daripada segi teksturnya.

Menurut Ainnur, perbezaan kedua-dua jenis makanan ini adalah lempuk durian 100 peratus menggunakan isi buah berkenaan tanpa ada campuran langsung dan tekstur isinya juga lembut apabila dimakan. Berbeza dengan dodol yang diperbuat daripada tepung pulut dan teksturnya lebih kenyal dan agak melekit.

Tambah Ainnur, beliau bersyukur jualan melalui dalam talian mendapat sambutan luar biasa dan kini tempahan boleh dibuat melalui ejen-ejen yang dilantik.

Ini adalah kerana, permintaan lempuk durian musim ini mencecah 100 hingga 200 kilogram sehari membuatkan beliau tidak sempat untuk menjual sendiri.

Untuk perancangan masa depan, Ainnur berhasrat untuk memperluaskan lagi pasaran lempuk ke serata negeri dan menambah lagi ejen serta tim sokongan Lempuk Durian Pior berkenaan.

Resipi Lempuk durian

Bahan-bahan

Isi durian

Gula putih/gula melaka (ikut citarasa sendiri)

Cara membuat

1- Masukkan isi durian ke dalam kuali, kemudian tuang air sedikit demi sedikit dan kacau sehingga pekat.

2- Masukkan gula putih atau gula melaka ikut citarasa masing-masing.

3- Proses mengacau lempuk mengambil masa enam hingga lapan jam menggunakan api yang kecil hingga menjadi kenyal dan boleh dibalikkan.

4- Bila dah siap, perlu disejukkan dahulu sebelum disimpan dalam bekas atau dibungkus rapi.

5- Boleh dimakan begitu sahaja, bersama roti atau campur dengan bubur kacang.

Lempuk yang disimpan dalam peti sejuk boleh bertahan sehingga setahun lebih.