Replika istana zaman silam tarikan utama, ini keunikan pameran Silang Budaya Harmoni Malaysia 2024 hingga 31 Ogos ini

Iklan

REPLIKA istana zaman silam, seni rumah tradisional, wau, miniatur figura etnik, set makanan warisan dan perayaan pelbagai kaum antara keunikan yang disediakan buat pengunjung sempena pameran Silang Budaya Harmoni Malaysia 2024.

Set Istana Lemuni Pahang dan Istana Seri Menanti Negeri Sembilan merupakan tarikan utama kepada orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang seni bina serta pemilihan motif pada kediaman tradisional itu.

Iklan
Iklan

Pensyarah Jabatan Seni Bina dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azreena Abu Bakar berkata, kolaboratif pihaknya bersama Galeri Kebudayaan WCO dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dibuat sebagai usaha memartabatkan keunikan warisan tempatan ke peringkat global.

Menurutnya, pengunjung tempatan dan pelancong asing berpeluang mempelajari ilmu warisan orang Melayu zaman dahulu, misalnya kaedah tukang kayu mereka bentuk rumah yang mempunyai makna serta falsafah tersendiri.

Iklan

"Katakanlah motif Burung Ciak Rumah. Burung ini dipilih kerana ia banyak terdapat di kawasan kampung dan sering membuat sarang di rumah orang, sekali gus terjalinnya keakraban antara haiwan serta manusia.

Iklan

"Kemudian, tukang kayu mendapat ilham untuk dijadikan motif berdasarkan sikap burung ini yang menjaga sarang dengan baik seperti membersihkan najis di tempatnya sendiri," katanya kepada SinarPlus.

Pengunjung juga akan dihidangkan dengan informasi seperti tata letak dan pemilihan motif pada seni bina rumah yang jarang diketahui generasi moden.

Pameran yang bermula dari 6 hingga 31 Ogos ini berlangsung di Exchange 106 Tun Razak Exchange (TRX) dan dibuka secara percuma kepada orang awam.

Hadir sama, putera kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan iaitu Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz selaku perasmi; Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohamad Azlan Abdul Majid; Pengasas Galeri WCO Holdings Sdn Bhd, Foo Loke Kee serta Pengarah Seksyen Komersial dan Digital Kraftangan Malaysia, Nor Farahin Nazmi Nor Azmi.

Selain itu, Ketua Pegawai Kewangan Exchange 106@TRX, Tajuddin Shahruddin dan Pengarah Pengembangan Seni Budaya JKKN, Zaifri Husin turut serta memeriahkan perasmian pameran hari pertama berkenaan.

Persilangan budaya 14 negeri

Sinergi Jabatan Seni Bina dan Alam Bina UKM, Galeri Kebudayaan WCO serta JKKN turut mendapat sokongan penuh daripada MOTAC bagi menyemarakkan lagi keunikan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Justeru, Azreena berharap agar pameran berkenaan dapat membuka mata dan minda masyarakat masa kini terutamanya golongan ahli akademik bahawa seni bina tradisi perlu dipelajari serta dihargai.

"Setiap reka bentuk terdahulu sebenarnya berpandukan kearifan watan supaya produk yang dihasilkan lebih berkualiti dan asli.

"Inilah salah satu intipati pemikiran kreatif orang Melayu lama yang boleh dijadikan rujukan untuk anak bangsa kerana sesebuah tamadun terhasil berdasarkan pemikiran kreatif masyarakatnya.

"Tanpa pemikiran sebegini, maka hilanglah tamadun termasuk tamadun Melayu memandangkan nilai kreatifnya dapat dinilai melalui falsafah di sebalik reka bentuk yang unik," ulas beliau.

Sementara itu, Loke Kee memaklumkan, pameran tersebut turut menekankan kepentingan memelihara seni budaya sebagai aset pelancongan supaya terus berkembang dan dihargai oleh generasi akan datang.

Tambah beliau, dengan bertemakan ‘Silang Budaya, Harmoni Malaysia’, ia merupakan simbolik kepada persilangan budaya 14 negeri hanya dalam satu ruang lingkup.

"Orang ramai tak perlu bazir duit pergi ke setiap negeri untuk belajar sejarah, cara hidup dan budaya. Mereka boleh sahaja datang ke pameran kerana semuanya tersedia di sini.

"Ia juga usaha kami bagi menyemarakkan lagi rasa cinta kepada seni warisan negara sempena Hari Kebangsaan ke-67 nanti," ujarnya.