MB Cafe, inspirasi hipster cerminan kreativiti anak muda. Dekorasi dinding unik sentuhan hitam putih jadi tarikan

Iklan

MELANGKAH masuk ke ruang kafe ini, mata pengunjung pasti akan dijamu dengan dekorasi hitam putih yang menawan yang melatari ruang Mvnch Bites Cafe (MB).

Itu salah satu signatur yang menjadi tarikan kafe tersebut untuk warga UiTM Shah Alam dan penduduk sekitarnya berkunjung ke premis berkenaan.

Iklan
Iklan

Berkonsepkan moden minimalis, kafe berkenaan mungkin kelihatan cukup minimalis, namun menampilkan suasana yang luas, bersih dan elegan, menjadikannya lokasi pilihan bagi mereka yang menghargai seni kontemporari.

Memanfaatkan keluasan 400 kaki persegi di bahagian dalam dan 2,000 kaki persegi di luar, MB Cafe yang dibuka pada 15 April 2024 itu mampu menampung 60 hingga 70 orang pelanggan dalam satu masa.

Iklan

Ruang yang cukup besar ini direka khas untuk memberikan keselesaan kepada pengunjung, sama ada untuk bersantai bersama rakan, bekerja, atau sekadar menikmati suasana.

Setiap inci ruang kafe direka cukup teliti bagi menyerlahkan keunikan dan kreativiti. Lukisan dinding khas hasil ciptaan pelajar UiTM, iaitu Cikgu Dipi, menjadi elemen utama dekorasi yang mencuri perhatian. Corak abstrak dan sentuhan moden pada dinding memberikan elemen seni yang menarik, mencipta suasana santai dan penuh inspirasi.

Iklan

Selain itu, penggunaan perabot Imoden melengkapkan gaya santai dan mesra pelanggan. Setiap susunan perabot direka agar pengunjung merasa selesa, sama ada ketika menikmati kopi atau berkongsi cerita bersama rakan.

Inspirasi dekorasi MB Cafe datang daripada konsep kafe luar negara, memberikan sentuhan kosmopolitan yang jarang ditemui dalam kafe tempatan.

Platform inkubator keusahawanan

Dekorasi sahaja tidak mencukupi tanpa menu yang menarik. MB Cafe menyajikan kopi premium yang dihidangkan segar bersama pelbagai jenis pastri berinspirasikan Barat, sesuai untuk pencinta kopi dan peminat makanan ringan.

Tidak ketinggalan, pilihan masakan Melayu seperti nasi kerabu, soto, dan menu istimewa kafe, iaitu nasi lemak MB, menjadi tumpuan pelanggan. Apa yang menjadikan nasi lemak intu lebih istimewa ialah, ia dihasilkan sendiri oleh pelajar-pelajar yang terlibat dalam pengurusan kafe. Gabungan hidangan tempatan dan Barat memberikan pelanggan peluang untuk menikmati cita rasa yang pelbagai dalam satu tempat.

MB Cafe bukan sekadar sebuah kafe hipster. Ia juga sebuah platform inkubator keusahawanan di bawah kendalian MASMED (Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia) bersama Yayasan Era Suria.

Melalui inisiatif itu, pelajar UiTM diberi peluang menjalani latihan praktikal dalam pengurusan kafe, termasuk penyediaan makanan, perkhidmatan pelanggan, dan operasi harian.

Menurut Konsultan Mvnch Bites Cafe, Zulkifli Bujang, proses pemilihan pelajar dilakukan secara saringan dan temu bual untuk memastikan hanya yang berkelayakan dipilih.

"Menariknya, jadual kerja pelajar disusun dengan baik agar tidak mengganggu waktu pembelajaran mereka. Tambahan pula, pelajar yang menamatkan program ini akan menerima sijil kelayakan, yang menjadi nilai tambah untuk kerjaya mereka selepas tamat pengajian.

"Kafe ini bukti usaha gigih Yayasan Era Suria dan MASMED dalam membentuk generasi muda yang bersedia untuk menghadapi cabaran dunia keusahawanan. Melalui pengalaman yang diperoleh, pelajar bukan sahaja mempelajari kemahiran teknikal tetapi juga keyakinan untuk menguruskan perniagaan sendiri," ujar lelaki berusia 47 tahun itu lagi.

Beliau bertanggungjawab sebagai konsultan bagi premis berkenaan turut mengalu-alukan penunjung datang menikmati hidangan enak sambil menghayati keunikan dekorasi yang menenangkan dan penuh kreativiti.

Dengan suasana moden dan cita rasa global, MB Cafe bukan sekadar tempat makan, tetapi sebuah destinasi inspirasi.