BUNGA antara penaik seri bagi sesebuah majlis perkahwinan. Tatkala dua jiwa bersatu hati melangkah menuju ke pelaminan, mata tetamu bukan hanya tertumpu kepada kedua mempelai, sebaliknya keindahan dekorasi yang menyerikan setiap ruang menarik mata memandang.
Elemen sedemikian membangkitkan aura, menjadikan suasana lebih romantis dalam meraikan cinta dua hati.
SinarPlus menerusi ruangan ilham deko kali ini berkongsi keindahan dekorasi di majlis pernikahan Nizam Mohd Kamal Teh, 27 dan pasangannya, Norizzati Muhamad Noor, 29.
Sekadar makluman, Nizam merupakan Ketua Pegawai Eksekutif bagi jenama terkenal Zaitun.
Pasangan tersebut disatukan sebagai suami isteri yang sah pada 10 Oktober yang lalu, dan Astana, Bamboo Hills, Kuala Lumpur menjadi lokasi strategik bagi majlis pernikahan.
Sementara itu, majlis persandingan pula berlangsung pada 13 Oktober bertempat di Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Raja sehari itu memilih pelamin rona merah yang menonjolkan elemen kelopak bunga besar, cukup memikat mata yang memandang.
Sentuhan moden penuh estetika nyata cukup eksklusif menjadikan majlis lebih intimate dengan kehadiran ahli keluarga dan tetamu jemputan yang diundang khas oleh pasangan pengantin.
Ruang unik pada pelamin yang memadukan citra alam bersama elemen mewah hasil sentuhan Abu dari Indah Design, mencipta memori bahagia dan momen bersejarah untuk pasangan suami isteri berkenaan.
Hiasan kerusi merah dan nyalaan lilin menjadi pelengkap sekali gus menerbitkan lagi kehangatan cinta yang terpahat di hati pengantin baharu.
Sesuai dengan konsep moden dan minimalis yang menjadi pilihan pengantin, kek lima tingkat yang sedondon dengan warna pelamin tampak ringkas namun punya keistimewaan tersendiri. Padanan bunga-bungaan merah menyerlahkan lagi gaya, sesuai buat mereka yang bercita rasa terkini.
Sentuhan kreatif
Sedikit mengenai pilihan busana pengantin yang sesuai digayakan dalam majlis penuh romantik dan indah itu. Persalinan rona putih dengan viel panjang berserta salutan batu berlian bagi rantai dan gelang yang bergemerlapan menambahkan aura sang ratu buat pengantin perempuan.
Sementara pengantin lelaki segak menggayakan tuksedo rona senada, menyerlahkan sisi seorang ahli korporat yang berjaya.
Beralih pula kepada majlis pernikahan, pasangan itu memilih sentuhan kreatif daripada Zaza Sabran dan Akhmal, Pengarah bagi Merindu Savior & Lilit Pipit.
Menurut Zaza, perancangan bagi majlis tersebut berlangsung kira-kira tiga bulan, sementara untuk penyediaan dekorasi mengambil masa lebih kurang lapan jam.
"Hasil perbincangan bersama Nizam dan Zati, kami menggunakan tema rona putih yang mewakili ketulusan hati dua insan bercinta. Pada masa sama, bagi menaikkan seri pada majlis tersebut, kami menggabungkan bunga artificals dan bunga segar seperti ros putih dan baby breath.
"Bunga ros putih melambangkan kisah cinta yang suci sesuai dengan haruman semula jadinya, menjadikan dewan berbau wangi dan tampak segar dan ‘hidup’.
"Sementara baby breath pula menghasilkan dekorasi bunga yang lebih cantik dan susunan bunga yang lebih hidup.
"Walaupun kami menggunakan bunga segar, namun ia tidak akan layu sekiranya di cucuk atau dihias dengan cara yang betul,” ujar Zaza lagi.
Menggunakan lebih 1,000 kuntuman bunga untuk majlis akad nikah, konsep cinta yang murni atau pure love menjadi pilihan sekali gus mengambarkan kisah percintaan pasangan merpati sejoli yang terjalin sejak empat tahun lalu.
Menyentuh mengenai pemilihan pelamin, Zaza mengakui ruang yang terhad ditambah dengan reka bentuk unik lokasi tersebut membuatkan mereka mengambil keputusan untuk mendekorasi mengikut reka bentuk astana sendiri.
"Kami turut mendapatkan idea dan cita rasa Nizam dan Izzati bagi mencapai satu rekaan yang dipersetujui bersama,” ulas Zaza lagi.