LANGSIR jenis double volume menjadi pilihan sempurna untuk ruang yang memiliki siling tinggi seperti rumah dua tingkat, ruang tamu berkembar, atau ruang lobi.
Secara ringkas, ia merujuk kepada ruang yang mempunyai ketinggian dua kali ganda daripada ruang biasa, dan jenis itu memberi kesan visual yang lebih luas dan elegan pada ruang tersebut.
Selain itu, langsir sedemikian turut mencipta suasana mewah dan lapang yang mampu menonjolkan keindahan ruang secara keseluruhan, namun pemasangan langsir jenis ini memerlukan perancangan yang teliti agar hasilnya benar-benar memuaskan.
SinarPlus baru-baru ini menemu bual pengasas Ai Curtains Home Furnishing Sdn Bhd, Aida Haswani Abu Hassan berkenaan penghasilan kain penutup jendela itu.
Menurut beliau, langsir tersebut dipasang pada ruang dengan ketinggian dua kali lebih tinggi berbanding ruang biasa.
"Biasanya, ia boleh mencapai ketinggian sehingga 20 kaki atau lebih, bergantung pada ketinggian siling.
"Dengan saiz yang luar biasa ini, langsir double volume memerlukan kain yang lebih panjang dan lebar untuk memastikan lipatan yang kemas dan mewah.
"Selain itu, rod atau railing yang lebih kuat juga diperlukan untuk menampung berat kain yang digunakan,” ujarnya.
Kelebihan menggunakan langsir double volume:
1) Menyerlahkan ketinggian ruang
Langsir double volume mencipta ilusi ruang yang lebih lapang dan tinggi. Dengan pemilihan langsir yang tepat, ruang yang tampak kosong akan berubah menjadi lebih menarik dan menawan. Ketinggian langsir ini memberi kesan visual yang dramatik dan meningkatkan kesan 'wow' bagi sesiapa yang melangkah masuk.
2) Meningkatkan nilai estetika
Kain berkualiti tinggi dan rekaan elegan menjadikan langsir double volume mampu memberikan sentuhan mewah kepada ruang. Tidak hanya memberi keindahan visual, ia juga meningkatkan nilai estetika ruang, menjadikannya lebih menarik dan bernilai tinggi.
3) Pengawalan cahaya lebih baik
Dengan langsir double volume, pencahayaan dalam ruang boleh dikawal dengan lebih efisien. Anda boleh memilih untuk membiarkan cahaya semulajadi masuk pada siang hari atau menghalang sinar matahari bagi mencipta suasana yang lebih intim pada malam hari.
Beliau dalam pada itu mengakui, pemasangan langsir berkenaan memerlukan perhatian khusus dan perancangan yang teliti.
Beberapa masalah boleh timbul. Antaranya:
1) Pemasangan tidak stabil
Penggunaan rod atau railing yang tidak sesuai boleh menyebabkan langsir tidak stabil. Kain yang berat boleh menyebabkan langsir tergantung dengan tidak rata atau bengkok. Oleh itu, rod yang kukuh dan sesuai dengan saiz ruang adalah amat penting.
2) Penampilan tidak seimbang
Jika pemilihan kain atau corak tidak sepadan dengan skala ruang, langsir boleh kelihatan tidak seimbang dan mencacatkan keseluruhan reka bentuk ruang. Oleh itu, pemilihan bahan yang tepat adalah sangat penting untuk menghasilkan kesan yang menarik.
3) Keselamatan pemasangan
Pemasangan langsir double volume yang memerlukan peralatan tinggi seperti scaffolding harus dilakukan oleh pasukan profesional yang berpengalaman.
Untuk memastikan langsir double volume benar-benar menyerlahkan keindahan ruang, beberapa tips berikut boleh diikuti:
1) Pilih kain berkualiti tinggi
Kain yang tebal dan berkualiti tinggi seperti velvet atau blackout bukan sahaja memberikan kesan lipatan yang dramatik, tetapi juga tahan lama. Kain yang berkualiti juga akan memberi keselesaan serta pengawalan cahaya yang lebih baik.
2) Rekaan yang elegan dan sederhana
Pilih rekaan yang sederhana dan elegan agar langsir tidak terlalu sarat. Warna neutral seperti beige, putih atau kelabu akan menyerlahkan ketinggian ruang dan sesuai dengan pelbagai gaya hiasan dalaman.
3) Sistem motorized
Anda tidak perlu lagi membuka atau menutup langsir secara manual. Ia memberikan kemudahan serta keselesaan kepada penghuni rumah.
Langsir bukan hanya sekadar elemen hiasan, tetapi juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan estetika dan keselesaan ruang.
Malah, dengan memilih kain berkualiti, reka bentuk yang sesuai membantu memberikan impak yang luar biasa pada ruang kediaman anda.