TAHNIAH buat anak sulung pelakon Rita Rudaini, Airit Rayyan Rizqin yang sering membanggakan ibu. Semakin membesar, pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar terus menyinar dalam sukan olahraga.
Beberapa hari lalu, Airit Rayyan yang mesra disapa Rayyan memecah beberapa rekod Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam 2024.
Pada hari penutup, Rayyan sekali lagi meleburkan rekod kejohanan bersama kuartet 4×400 meter maktabnya dengan merekodkan larian terpantas dengan masa tiga minit 58.47 saat.
Airit Rayyan Rizqin bersama Raja Muhammad A’Yyash Raja Mohd Sidqi, Ammar Haziq Azlan Abdul Aziz dan Ilham Muqhriez Nurul Hisyam mencatat larian terpantas dengan masa tiga minit 58.47 saat.
Rita menerusi Instagram meluahkan rasa syukur. Pelakon Mami Jarum Junior itu tidak lupa menzahirkan rasa bangga.
"Penutup MSSD hari ini, pecahkan rekod lagi, 17 tahun rekod 4x400m. Rayyan, Ammar, Ilham, Amin dan Ayyash. Rekod baru 2024, 3:58.57s (saat). Rekod lama tahun 2007, 4:0097s,” tulisnya.
Sementara itu menerusi Insta Story, pelakon turut syukur atas rezeki yang diraih anak lelakinya itu.
"Ibu mana yang tak bangga, sedangkan anak dapat bertatih pun dah proud gila. Alhamdulillah rezeki anak yang bernama Airit Rayyan Rizqin,” kongsinya.
Satu persatu kejayaan dicipta, dibesarkan oleh seorang ibu tunggal bukan halangan buat Rayyan.
Berkongsi rahsia kejayaannya itu, beliau berkata, sukan dan pelajaran perlu seimbang selain memerlukan komitmen sepenuhnya.
"Begitu juga dalam pelajaran, saya sendiri letakkan diri untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan," katanya.
TARGET 30 JUZUK 2 TAHUN LAGI
Mengulas lanjut, Rayyan memberitahu, meskipun sibuk dalam acara sukan, namun tidak sesekali melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar.
Katanya, fokus dan tumpuannya dalam pelajaran pula mahu memastikan dapat memperoleh gred purata nilai 4.0 pada semester depan.
"Sekarang ini, saya sudah dapat menghampiri hafalan juzuk 15 dan perlu bersungguh-sungguh dan lebih bermakna sekiranya duniawi dan ukhrawi ini dapat diseimbangkan," tambah beliau.
PENGALAMAN PERTAMA DI PERINGKAT DAERAH
Pelajar aliran Ulul Albab itu juga meluahkan kesyukuran kerana dapat memecahkan tiga rekod baharu iaitu 100 meter (m), 200 m dan 4X400 meter.
"Sebenarnya ini pengalaman pertama saya menyertai kejohanan peringkat daerah, tidak sangka pula ia membuahkan hasil.
"Biasanya saya masuk olahraga di peringkat sekolah sahaja dan kutip pengalaman ini untuk lebih berjaya pada masa akan datang," ujarnya yang memperoleh gred purata nilai 3.99 pada peperiksaan semester baru-baru ini.
Rayyan memecah rekod 100 meter selepas mencatat masa 11:44 saat yang sebelum ini disandang, Norazizi Sobari dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Aziz sejak tahun 2004 dengan catatan 11.58 saat.
Airit Rayyan terus melakar kejayaan dalam acara 200 meter apabila memecah rekod milik Lucas Theng Chen Yi dari SMJK Yoke Kuan selepas mencatat masa 23:81 saat sekali gus mengatasi rekod 24:00 saat.
Anak sulung daripada dua beradik itu turut memberi impak besar buat kuartet 4x400 MRSM Sungai Besar apabila memenangi pingat emas dan memperbaharui rekod selama 17 tahun milik Sekolah Menegah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yoke Kuan, Sekinchan.
Tidak hanya Rayyan, adiknya, Airit Qaqa Arjuna juga mempunyai bakat dalam acara pecut. Si bongsu itu baru-baru ini memenangi pingat emas dan perak bagi acara 200m dan 4 x 100m pada kejohanan sukan sekolah.
Sumber: Sinar Harian, Instagram Rita Rudaini