SELEBRITI dan pendakwah, Adam Corrie menjelaskan cara terbaik untuk kekal istiqomah adalah dengan melaksanakan ibadah wajib.
Bagi pemilik nama Adam Corrie Lee Abdullah, solat lima waktu adalah tuntutan yang wajib dilaksanakan tanpa meninggalkannya walaupun satu waktu.
"Saya istiqamah cuba buat yang terbaik, contohnya kalau ALLAH kata solat lima waktu, kita cubalah buat sepenuhnya.
"Janganlah kita tertinggal solat, ujarnya ketika ditemui SinarPlus.
Pelakon filem aksi KL Gangster itu menambah, sebagai seorang mualaf beliau sentiasa meyakini ajaran Islam sebagai panduan agar pegangannya tidak tersasar.
"Dalam istiqamah, saya juga yakin dengan ALLAH, apa saya buat dan yakin dengan apa yang saya baca dan ALLAH beri.
"Insya-ALLAH dengan keberkatan itu, kita tidak mudah terumbang-ambing dan boleh berfikir secara waras.
Bercerita mengenai kerjayanya pula, Adam buat julung kalinya merasmikan pembukaan restoran pertamanya iaitu Kopihut yang terletak di Bandar Permaisuri Cheras.
Sempena pembukaan premis berkenaan, Adam turut menyantuni lebih 40 anak yatim selain menyumbangkan barang keperluan asas kepada Rumah Amal Cahaya Kasih Bestari berkenaan.