PELAKON Mira Filzah menitipkan kesyukuran atas peluang untuk menunaikan umrah dalam keadaan tenang biarpun membawa bersama anak tunggalnya, Wan Khair Amir.
Isteri Wan Emir Astar itu memaklumkan bahawa ibadah umrah yang dilakukan kali ini agak mencabar buatnya namun cukup bermakna dengan kehadiran suami dan anaknya.
"Pertama kali buat umrah sebagai seorang isteri dan ibu.
"Sangat mencabar tetapi satu pengalaman yang sangat bermakna buat saya," titipnya.
Sementelah waktu yang singkat di Makkah, pemilik nama Nur Amirah Filzah Badioezaman itu berterima kasih kepada suami yang rela hati menjaga permata hati mereka.
Ia memberi peluang buatnya melakukan ibadah termasuk solat sunat bersendirian.
"Kami cuma ada satu malam saja di sini. Emir menawarkan dirinya untuk menjaga Amir dan saya dapat keluar ke masjid sendiri untuk mendirikan solat tahajud.
"Wallahi, ini adalah momen terbaik dalam hidup saya, terima kasih sayang.
"Ia satu pengalaman yang singkat tetapi sangat bermakna untuk berada di tempat yang paling diberkati," kongsi Mira.
Membawa bersama Wan Khair Amir, Mira turut berkongsi momen dirinya melakukan ibadah tawaf di sekeliling Kaabah sambil mendukung anaknya yang berusia dua tahun tiga bulan itu.
"Alhamdulillah, selesai mengerjakan ibadah umrah.
"Pertama kali bawa Amir dan dia nak mama dukung ja, jadi mama lah dukung sambil tawaf tujuh kali.
"Tak merungut, syukur Alhamdulillah buat segalanya," kongsi Mira di Insta Story.
Ternyata membawa bersama anak kecil untuk melakukan umrah di Tanah Suci tidak menggugat rencana ibadah asalkan pasangan saling membantu dan bertolak ansur.
Untuk rekod, Mira dan Emir mendirikan rumah tangga pada 3 September 2021 di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur dan dikurniakan anak sulung pada Mei 2022.