'Ini platform saya cari rezeki, buat duit.' Aishah Rahim mahu ubah nasib keluarga, me time bersama kawan bantu hilangkan stres

Iklan

PENANGAN trend solekan Asoka yang trending di platform TikTok melonjakkan nama Aishhrahim di bibir peminat terutama mereka yang aktif dalam media sosial tersebut.

Manakan tidaknya, video yang beliau hasilkan cukup hebat dan mencecah jutaan view dan mampu menewaskan ramai pempengaruh lain bukan sahaja di dalam bahkan luar negara.

Iklan
Iklan

Menurut tuan punya badan, enam jam diambil bagi menyiapkan cabaran Asoka tersebut sambil membuat siaran langsung. Patutlah hasilnya superb, kan!

Maka, apabila pencipta kandungan itu dipilih menerima anugerah Beauty & Fashion Creator of the Year menerusi TikTok Awards baru-baru ini, ramai yang mengakui pilihan tersebut sememangnya tepat bahkan sudah dijangka.

Iklan

SinarPlus baru-baru ini mempelawa pemilik nama sebenar, Ade Nor Aishah Abdul Rahim untuk berkongsi pembabitan beliau dalam bidang tersebut.

Hadir ke Studio Sinar Karangkraf dengan ditemani suami tersayang, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu tampak sedikit penat. Sementelah beliau kini sedang berbadan dua dan usia kandungan memasuki enam bulan.

Iklan

Mukadimah awal bicara kami bersama dimulakan dengan penulis mengorek pertalian hubungan antara beliau dengan penyanyi nombor satu negara.

Rupa-rupanya mereka bersaudara dan mempunyai pertalian sepupu. Pun demikian, empunya diri enggan diri dikaitkan dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza, bimbang dengan pandangan serong segelintir pihak, yang beliau ingin menumpang tuah penyanyi dan usahawan terkenal itu.

"Memang sengaja saya tidak mendedahkan hubungan dengan Siti Nurhaliza, cuma baru-baru ini kami membuat video bersama dan daripada situ ada yang tahu.

"Saya lebih selesa orang tidak tahu kerana tidak mahu dikata menumpang populariti beliau,” dedah beliau yang menggunakan nama Aishhrahim di medium TikTok.

Minat dengan bidang solekan sejak kecil lagi ditambah pula apabila melihat kejayaan MUA Bellaz, Bella Park yang mencipta nama dalam bidang itu sedikit sebanyak mempengaruhi dirinya untuk berjaya seperti mereka.

Baca komen negatif

Berkongsi lanjut mengenai sisi peribadinya, rupa-rupanya bukan hanya beliau seorang yang aktif dalam bidang seni, bahkan adik-beradiknya lain turut meminati bidang yang sama.

"Bagi yang tidak tahu, adik saya menganggotai kumpulan Ukays, sementara kakak sulung pula suka menyanyi. Masing-masing ada bakat tersendiri dan kami mewarisi darah seni.

Dalam pada itu, personaliti media sosial popular itu yang mula menyorot perhatian ramai menerusi penghasilan video solekan melahirkan rasa syukur dan terharu kerana kehadirannya diterima baik.

"Alhamdulillah, semuanya berkat rezeki anak-anak dan doa daripada keluarga. Walaupun saya tak nafikan awal-awal kemunculan dahulu, ramai yang mengecam dan memberi komen negatif atas faktor kulit wajah saya yang bermasalah.

"Sedih memang sedih, namun saya memilih untuk tenang dan sempat juga membaca dan membalas kembali komen-komen berkenaan. Pada masa sama ia menjulang semangat untuk terus melangkah.

"Syukur, dari hari ke hari pengikut kian bertambah membuatkan saya mahu hasilkan yang terbaik,” ujar wanita berusia 33 tahun itu lagi.

Meraih populariti sekelip mata bukan sahaja membuatkan kehidupan anak ketujuh daripada lapan beradik itu menerima simbahan glamor, bahkan ahli keluarga terutama suami dan anak-anak turut menerima tempias yang sama.

Tatkala persoalan itu diajukan, beliau melemparkan senyuman manis sambil menyusun kata-kata.

Jika ditanya akan perasaan dirinya apabila semakin dikenali, sejujurnya bukan itu yang dikejar selama ini.

Bantu keluarga

Dedah empunya diri, banyak benda yang ingin dicapai apabila melangkah dalam bidang tersebut. Sementelah, dirinya datang daripada famili yang susah, jadi, tujuan utama adalah untuk mencari rezeki bagi mengubah nasib dan bantu keluarga dan adik-beradik yang lain.

"Selain minat, ini juga platform untuk saya mencari rezeki dan buat duit. Ahamdulillah, berkat sokongan dan doa ahli keluarga. Apabila dipilih menerima anugerah baru-baru ini, saya tak jangka langsung.

"Suami dan anak-anak pun okay dan terima situasi sekarang. Anak paling besar umur sembilan tahun manakala yang kecil lima tahun dan kini saya hamil enam bulan,” ujarnya yang bermula sebagai jurumekap sebelum aktif dalam TikTok sekitar 2021.

Ditanya bagaimana membahagikan masa memandangkan kini pasti cukup sibuk dan tak menang tangan memenuhi undangan untuk mekap dan menghasilkan konten di media sosial, ini jawapan tuan punya badan.

"Selain suami yang memahami dan anak-anak yang mendengar kata, saya juga bertuah dikurniakan ibu yang prihatin, mentua yang banyak membantu. Apabila saya ada jemputan di luar, anak-anak akan dijaga oleh mereka memandangkan suami akan ikut saya.

"Sengaja saya pilih suami sebagai peneman kerana mudah bergerak dan pergaulan juga tidak terbatas. Sejujurnya sekarang memang masa saya cukup terhad, namun tetap curi masa untuk mereka. Mujurlah kini saya sedang sarat, jadi tidak ambil job mekap buat sementara.

"Lagipun, anak-anak memang tidak gemar ikut saya dan suami ke mana-mana, termasuklah si kecil lima tahun. Pernah sebelum ini kami bawa tapi dia bosan, jadi dia lebih suka duduk di rumah,” jelasnya yang meletakkan limit dalam penggunaan gajet kepada anak-anaknya.

Anak ramai rezeki

Perbualan kami kemudiannya berkisar tentang sisi dirinya sebagai seorang isteri dan ibu. Manakan tidak, dalam usianya baru 33 tahun sudah punya ramai anak dan bakal menimang cahata mata kelima tidak lama lagi.

Lantaran itu, penulis bertanya benarkah anak ramai beban pada ibu bapa, sehinggakan ada yang tidak sempat menjaga penampilan diri?

Pun begitu, pandangan tersebut disangkal oleh tuan punya badan.

Baginya, anak ramai itu rezeki dan jangan jadikan zuriat sebagai alasan tak sempat nak jaga diri atau penampilan. Pada masa sama, beliau menitipkan pesanan buat wanita atau ibu di luar sana, jangan stres dan terlalu memaksa diri. Sebaliknya, buat ikut kemampuan diri.

"Sebab itu suami isteri kena saling memahami dan sama-sama kongsi tanggungjawab. Saya sendiri, selepas anak-anak ke sekolah, barulah akan tumpukan pada penghasilan video. Kalau malam saya buat live, mereka tak ganggu kerana sudah sedia maklum.

"Memandangkan anak-anak masih kecil, saya dan suami sepakat berkenaan privasi keluarga dan tidak mahu dedahkan mereka pada dunia media sosial.

"Anak-anak tahu siapa ibunya (TikTokers), malah ada juga kawan anak yang kenal diri saya dalam media sosial,” ujarnya yang mengakui anak kedua menampakkan minat untuk mengikut jejak langkahnya.

Sebelum menutup perbualan, sempat penulis mengajukan pertanyaan bagaimana caranya melepaskan tekanan. Kongsinya, biar seberat mana sekali pun tanggungjawab, namun jika dibuat seikhlas hati pasti Tuhan akan permudahkan.

"Selain sikap suami yang sentiasa beri sokongan, beliau juga seorang ayah yang ringan tulang. Pada masa sama, saya juga diberikan peluang untuk me time.



"Sebulan sekali, saya akan keluar jalan-jalan atau makan dengan kawan-kawan baik sementara anak-anak dijaga oleh mentua atau ibu saya."Itulah untungnya tinggal berdekatan dengan keluarga, jadi segala urusan dipermudahkan,” ungkap Aishah sambil tertawa bahagia.