SEDEKAD menghasilkan video pempengaruh dan usahawan Khairul Aming terus menerima perhatian ramai. Terbaharu, beliau menerima kunjungan Perdana Menteri Christopher Luxon yang menghargainya merakamkan video-video masakannya di negara itu.
Berita menggembirakan itu dikongsikan Khairul Aming menerusi laman sosial Instagram miliknya.
Menyambut ketibaan Luxon di restoran Hidang KL, personaliti media sosial itu sempat menyediakan hidangan sarapan berupa roti jala air tangannya sendiri dan teh tarik.
Luxon turut dihidangkan dengan cendol dan nasi lemak.
"Selepas persiapan rapi barulah kita berjumpa hari ini.
"Hari ni Khairul Aming dan Perdana Menteri New Zealand berjumpa sebagai tanda penghargaan dari pihak New Zealand untuk video masak yang kita buat dekat sana.
"Saya mengambil kesempatan untuk memperkenalkan kepada beliau sarapan pagi Malaysia sambil bertukar pendapat mengenai industri pelancongan antara Malaysia dan New Zealand, perdagangan eksport daging dan tenusu halal, pemeliharaan alam semula jadi dan potensi eksport produk industri kecil dan sederhana tempatan ke New Zealand," katanya.
Ujar influencer berusia 31 tahun itu, beliau turut memperkenalkan produk keluaran beliau iaitu Sambat Nyet dan Daging Dendeng Nyet Berapi.
"Lapan tahun lalu, saya merakam video memasak pertama saya sambil duduk di atas lantai. Hari ini, saya mendapat keistimewaan untuk duduk di sebelah Perdana Menteri sebuah negara yang terkenal. Keep hustling, you’ll be amazed at where life can take you," kongsinya yang memiliki 4.1 juta pengikut di Instagram dan 1.5 juta pengikut di X.
Anak kelahiran Kota Bharu itu sinonim dengan siri video Ramadan berjudul 30 Hari 30 Resepi saban tahun.
Sehingga kini, graduan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Vanderbilt di Amerika Syarikat memiliki dua kilang di Kota Bahru.
Luxon berada di Malaysia dari 1 hingga 3 September. Ia merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2023.
Sumber: Instagram