RUMAH tangga sutradara tersohor Syamsul Yusof dan Ira Kazar terus menjadi tumpuan susulan tindakan pengarah itu memfailkan penceraian pada 19 Ogos lalu.
Bagaimanapun, belum selesai perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Ira memfailkan pula pengesahan lafaz taklik dibuat Syamsul terhadapnya.
Syamsul yang tiba di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor jam 9 pagi bagi sebutan pertama kes pengesahan lafaz cerai taklik itu kelihatan dalam keadaan tenang.
Ditemui pemberita di luar mahkamah, bapa kepada dua cahaya mata itu meminta menunggu keputusan mahkamah berhubung kes penceraiannya.
"Saya baik, Alhamdulillah. Komen saya, kita tunggu selepas ini (perbicaraan)," katanya ringkas
Sementara itu, lapor portal hiburan tempatan, peguam syarie mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais menjelaskan pengesahan lafaz taklik berkenaan mempunyai kaitan dengan hantaran dibuat Ira menerusi media sosial miliknya.
"Ira dikatakan melanggar taklik. Ada kaitan dengan perbuatan Ira dengan posting dibuat di sosial media," katanya.
Ira difahamkan telah memfailkan pengesahan lafaz taklik pada 27 Ogos lalu.
Azmi dalam masa sama memberitahu Syamsul juga sudah bersedia melafazkan cerai terhadap Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin.
"Selepas Syamsul failkan cerai, Ira pula failkan kes lafaz taklik. Jadi kita cuma selesaikan isu lafaz taklik.
"Lafaz taklik ini akan disiasat oleh mahkamah untuk melihat sama ada Ira melanggar taklik atau tidak. Kita akan lalui perbicaraan siasatan," ujarnya.
Untuk rekod, Syamsul memfailkan cerai terhadap Ira pada 19 Ogos lalu. Sebutan yang sepatutnya berlangsung pada 27 Ogos lalu ditunda kepada 25 September depan memandangkan Ira baru sahaja melantik peguam.
Syamsul dan Ira yang juga anak kepada pelakon Kazar Saisi bernikah di Thailand pada 6 Januari 2023. Perkahwinan mereka didaftarkan di Perlis pada 20 Januari tahun sama.
Pemilik nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof itu sebelum ini bercerai talak satu dengan pelakon Puteri Sarah Liyana pada 23 Jun 2023 selepas berkahwin pada 8 Mac 2014.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata Syaikul Islam, 7, dan Summayah, 5.
Sumber: mStar, Harian Metro