Tahniah! Johan Ghazali harumkan nama Malaysia, ungguli muay Thai di bumi AS. 10 info menarik mengenainya

Iklan

JAGUH Muay Thai negara, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar kian mencipta nama di persada antarabangsa.

Jejaka berkenaan tampil dengan aksi sensasi apabila berjaya menewaskan Josue Cruz dalam aksi ONE 168: Denver, pada Sabtu.

Dalam perlawanan berlangsung di Ball Arena di Denver, Colorado, Amerika Syarikat itu Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo menewaskan pertarung dari Mexico itu secara knockout (KO) pada pusingan pertama.

Ia sekali gus menyaksikan jaguh berusia 18 tahun itu berjaya melebarkan rekod kemenangan 6-1 dan meraih bonus kemenangan AS$50,000 (RM216,699).

Lebih bermakna, kejayaan itu diraih di negara kelahiran ibunya, Jeanna Johnson.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Selepas tamat perlawanan, Jojo berkongsikan kegembiraan atas kemenangan yang diperolehnya.

"Pertama sekali, saya mengucapkan Alhamdulillah atas kemenangan ini.

"Saya telah meletakkan usaha keras untuk berada di tahap ini.

"Assalamualaikum buat rakyat Malaysia, Malaysia boleh, Alhamdulillah," katanya.

Melihatkan ketangkasan dan fizikalnya yang sasa dan tinggi, mungkin ramai tidak menyangka anak muda ini baharu mencecah 18 tahun!

Kemenangan itu juga berjaya menebus kekecewaan Jojo yang tewas kepada Tran Duy Nhat Nguyen di ONE 167 sebelum ini yang menjadi kekalahan pertama dalam karier profesionalnya.

Jojo terdahulu mencipta rekod cemerlang menewaskan Juara Muay Thai Antarabangsa WBC, Edgar Tabares dalam penampilan sulung di pentas Primetime US, ONE Championship pada Disember tahun lalu.

Kegigihan dan semangat anak muda ini cukup memberikan inspirasi. Untuk mengenali Jojo dengan lebih dekat, SinarPlus himpunkan 10 fakta menarik mengenainya:

Berikut 10 info menarik Johan 'Jojo Ghazali':



1-Johan dilahirkan pada 14 November 2007 di Kuala Lumpur. Keluarganya menetap di Kajang, Selangor sebelum berpindah ke Kuching Sarawak pada tahun 2015.

2-Menurut onefc.com, Anak muda ini mewarisi darah campuran Amerika Syarikat daripada ibu, Jennana Johnson manakala sebelah bapanya, Zulfiqar Muhammad Ghazali pula Melayu, Indonesia dan Jepun.

3-Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan SMK ST Thomas Kuching, Sarawak itu mula berjinak-jinak dengan sukan Muay Thai sejak umur berusia 10 tahun. Muay Thai tidak asing bagi Johan kerana ibu bapanya adalah pengamal seni pertahanan diri itu.

4-Menariknya, semua empat adik-beradiknya aktif dalam Muay Thai. Abangnya, Ghazali Zulfikar, adiknya Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar dan Emylia memang juga handal di gelanggang.

5-Johan sebahagian daripada pasukan Rentap Muay Thai Gym, Sarawak.

6-Pada 2022, Johan meraih gelaran juara dalam kejohanan Muay Thai Remaja Dunia ISMA 2022 selepas mengalahkan lawan dari Rusia, Rustam Yunusob. Pada 24 Februari 2023 namanya sekali lagi disebut ketika membuat penampilan sulung dalam kejohanan ONE Championship di Bangkok.

7-Beliau mengagumkan para penonton selepas hanya memerlukan 16 saat untuk mengalahkan pihak lawan, Padetsuk Fairtes, 18 tahun dari Thailand. Kemenangan itu membawanya untuk menerima ganjaran wang tunai berjumlah AS$10,000.

8-Jojo kemudian memperoleh kontrak berjumlah AS$100,000 yang didamkan dalam pertubuhan seni mempertahankan diri terbesar dunia itu.

9-Beliau memikat peminat dengan gaya pertarungan yang tangkas. Sebaik loceng permulaan berbunyi, Jojo akan terus mengasak dan menumbangkan lawan.

10-Meskipun masih muda, Jojo dilihat sebagai bintang yang meningkat naik dalam sukan pertempuran tahun ini. Malah, ada yang membandingkannya dengan Juara Dunia ONE Flyweight Muay Thai, Rodtang Jitmuangnon.

NAMA SAYA JOHAN



Salah satu sesi temu bualnya secara langsung di atas gelanggang tidak lama dahulu menyerlahkan karisma tinggi di sebalik usianya yang muda.

I will... mark my words... I will be the youngest One Championship Champion ever. Insya-ALLAH," katanya.

Rakaman sesi temu bual berkenaan menjadi tular di laman sosial dengan ramai menyifatkan anak muda ini mempunyai masa depan cerah dengan pakej yang lengkap iaitu ketangkasan, bakat, wajah, penampilan dan keyakinan di gelanggang dan hadapan lensa.

Syabas dan tahniah Johan, anda mempunyai masa depan yang cerah. Keep fighting, moga terus berjaya!