Tahniah! Ebby Yus terima Ijazah Kehormat Doktor Persilatan. 'Tak harapkan anugerah, tanda penghargaan kerja keras'

Iklan

PELAKON dan pelawak Ebby Yus yang baharu sahaja dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persilatan oleh Akademi Persilatan Sedunia Sdn Bhd.

Majlis penganugerahan berlangsung di Dewan Tun Fatimah, Hotel Riverside Melaka pada Ahad lalu yang disampaikan oleh Presiden Akademi Persilatan Sedunia Sdn Bhd, Profesor Dr Zainal Abidin Sakom.

Iklan
Iklan

Ebby atau Muhammad Yunus Abdul Rashid, 59, secara rasmi menerima gelaran Ijazah Kehormat Persilatan Sedunia iaitu Ijazah Doktor Persilatan (Honorary Doctorate of Martial Art) daripada Akademi Persilatan Sedunia (APS).

Pelakon sitkom televisyen 'Simpang Tiga' itu terdahulu pada mulanya menolak kerana merasakan tidak layak dan ilmu persilatannya tidak sampai ke tahap membolehkan beliau menerima anugerah itu.

Iklan

"Pihak mereka hantar surat dah dua minggu untuk pencalonan saya dalam Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persilatan tapi mulanya saya jawab secara baik menolak kerana rasa macam tak layak.

Iklan

"Tapi rakan saya, Ustaz Dr Mohd Ashraf Suarin tanya saya kenapa tolak. Mereka sebenarnya hubungi dia untuk dapatkan saya. Namun saya tetap jawab tak layak terima. Banyak lagi orang lain yang sepatutnya terima.

Bagaimanapun, aktor yang sudah 41 tahun terlibat dalam industri seni itu akhirnya mengambil keputusan menerima kurniaan berkenaan selepas mendapati ia bersesuaian.

"Ustaz Dr Mohd Ashraf beri sebab saya terpilih. Dari situ saya hubungi semula wakil penganjur, Dr Meor dan bertanya atas kapasiti apa saya terpilih.

"Beliau menjawab saya disenaraikan pilih oleh majlis Senat Akademi Persilatan Sedunia Sdn Bhd pada mesyuarat Senat 12 Januari 2024.

"Saya dilihat paling sesuai dalam mengangkat silat dalam industri hiburan TV dan filem. Bila dengar, saya akui pernah jadi koreografer drama dan filem untuk silat," katanya.

Memulakan lakonan di layar perak menerusi filem Tuah pada 1989, anak kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan itu mengakui ilmu persilatan yang dicurahkan tanpa mengharapkan

sebarang pengiktirafan.

"Saya sebenarnya tak tahu adanya akademi terbabit. Ini adalah kali kedua penganjuran anugerah dibuat. Saya buat kerja selama ini pun ikhlas sahaja tanpa mengharapkan apa-apa anugerah.

"Tapi apabila diberikan, saya terima. Kalau saya tolak nanti nampak macam sombong pula. Ini juga satu penghargaan atas kerja keras yang saya lakukan selama ini.

"Sampai sekarang pun saya masih angkat budaya silat Melayu dengan cara saya. Secara tidak langsung ia memberikan semangat untuk kita teruskan. Bukan sebab saya hebat atau apa," kata Ebby.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam bidang persilatan, Ebby menyertai seni mempertahankan diri itu sejak di bangku sekolah rendah dan menyertai Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia.

Sumber: Harian Metro