SEBUT sahaja sajian minum petang di hotel atau restoran mewah yang semakin trending kini, sudah tentunya tidak sempurna konsep sedemikian tanpa secangkir cawan teh bersama seleksi manisan enak.
Lagi menambah keunikan setiap minuman, pemilihan teh premium yang dipersembahkan membawakan cita rasa tersendiri dengan gandingan madu bermutu tinggi.
Itulah antara tarikan terbaharu yang dibawakan Restoran Gordon Ramsay Bar & Grill Sunway Resort Hotel yang memperkenalkan The Afternoon Tea buat peminatnya.
Berkongsi keunikan terbaharu tersebut, Pengurus Besarnya, Albert Kjerimov berkata, pihaknya menawarkan 16 jenis teh yang diimport dari seluruh dunia dan dipersembahkan kepada pelanggan dalam satu troli khas.
Antara pilihan laku keras ialah Oriental Sencha, Lemon Ginger, Earl Grey dan Ginseng Oolong yang mempunyai khasiat istimewa buat peminat autentik.
"Lagi menambah aroma harum yang cukup memikat, tambahan herba terpilih seperti daun pudina, rosemary, lavender dan thyme pasti membuatkan kalian tersenyum puas,” katanya.
Untuk bekalan madu yang eksklusif, Kjerimov berkata, pihaknya mendapatkan stok daripada pembekal tempatan yang diyakini halal, asli dan berkualiti.
Kemunculan panelis popular Bella Astillah, Nabila Razali dan Da'i Izzhar Nazri menceriakan suasana.
Menariknya, pelanggan boleh memilih jenis teh dan madu kegemaran untuk eksperimentasi rasa bagi menghasilkan seteko minuman yang lain daripada lain dengan bantuan seorang pelayan.
Tidak lengkap set The Afternoon Tea tanpa sentuhan resipi cef terkemuka, Cef Gordon Ramsay yang popular dengan kulinari signatur seperti Beef Wellington, Boston Lobster Roll, Betroot Cured Salmon dan Coronation Chicken pada ukuran mini.
"Lagi satu, jangan lepaskan peluang untuk menikmati pemanis mulut ikonik seperti Yuzu Mille-feuille, Orange Blossom Mousse, Apple Crumble with Crème Diplomate, tart coklat dengan 64 peratus manjari dan makarun raspberi,” sarannya.
Jika masih lapar, pilihan skon kosong atau kismis dengan gandingan krim devon dan strawberi juga tersedia, selain pilihan kopi seperti latte, ekspresso, americano, cappucino serta flat white untuk ala carte.
Kjerimov turut mempelawa orang ramai untuk datang menikmati kelainan yang dibawakan menerusi The Afternoon Tea yang dibuka setiap Isnin hingga Jumaat sahaja.