WANITA yang menghayun buaian, mampu menggoncang dunia. Itu adalah peribahasa tepat menceritakan keberanian wanita yang tular bertugas di puncak bangunan kesembilan tertinggi dunia, Menara Berkembar Petronas yang menjadi mercu tanda bandar raya Kuala Luumpur.
Digelar ‘Iron Lady’, Normalia Sidek atau lebih dikenali sebagai Maya yang bertugas sebagai Rope Access Technician (juruteknik akses tali) dan juga Non-Destructive Testing (NDT) technician berjiwa besar dan berani melakukan pekerjaan mencabar itu apatah lagi seorang wanita.
Segalanya menjadi tular selepas video memaparkan beliau bertugas di puncak bangunan 88 tingkat yang turut dikenali sebagai Menara Berkembar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) itu.
Baru-baru ini, sempena ulang tahun ke-25 menara berkenaan, ibu kepada seorang cahaya mata itu sempat berkongsi pengalaman menerusi laman sosial Tiktok.
"Petronas Twin Tower cukup bermakna bagi saya. Ia salah satu yang berada dalam bucket list item saya," kongsinya.
Tidak ramai yang berpeluang berada di puncak dan menawan aras tertinggi KLCC. Justeru, Maya berkongsi pemandangan yang dilihat dari ketinggian 1,483 kaki berkenaan sebenarnya sangat mengagumkan.
"Saya bersyukur terpilih berada dalam team yang hebat. Saya duduk di atas sana (sekejap) rasa seperti healing.
"Saya sangat bersyukur kerana ia begitu cantik pemandangan dari atas, jelas keindahan dunia di bumi ini," katanya.
Dalam pada itu, Maya juga berkongsi menjalankan tugas pada aras tinggi bukan mudah dan berisiko tinggi.
Kekuatan mental dan fizikal perlu dipersiap demi kelancaran tugas di samping perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan biarpun sudah dilengkapi alat keselamatan.
"Sebagai rope technician kita perlu menyediakan kekuatan mental dan fizikal. Mental perlu kuat kerana di atas sana pelbagai perkara boleh berlaku
"Trust your movement. Anyone can be anything," katanya.
Tidak ramai yang berpeluang menakluk puncak KLCC. Justeru, tugasnya menukar lampu pada mercu kedua tertinggi di Malaysia itu juga menjadi kebanggaan beliau.
"Saya sangat bangga dengan kejayaan pasukan saya kerana dapat menyumbang hasil tangan kami untuk Malaysia.
"Setiap kali saya melihat KLCC yang kini sudah boleh bertukar-tukar warna lampunya, saya akan teringat memori memasang sistem itu di sana.
"Saya katakan kepada anak tengok lampu itu, ibu yang pasang," ujar Maya.
Terdahulu menerusi temu ramah bersama SinarPlus, mendedahkan kerjayanya bermula semasa beliau aktif dengan aktiviti lasak iaitu mendaki tebing.
Maya kemudiannya mencuba dengan mengambil kursus kemahiran untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan pekerjaan mencabar itu.
"Siapa sangka, daripada hobi akhirnya menjadi kerjaya utama kini. Sebelum itu, saya terbabit dalam bahagian butik fesyen.
"Setelah itu, saya beralih menjadi Juruteknik Akses Tali sebelum bertukar kepada portfolio Non-Destructive Testing (NDT) Technician," kongsinya yang memulakan kerjaya penuh berliku itu sejak tahun 2018 sehingga sekarang.
Bercita-cita ingin menakluk puncak menara Burj Khalifa di Dubai suatu hari nanti, Maya mengakui selain sukakan cabaran daripada segi mental dan fizikal, gaji yang ditawarkan memuaskan antara kriteria membuatkan beliau memilih bidang tersebut!
'TAHNIAH MAYA' - TUN M
Keberanian dan semangat kental Maya turut disoroti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed
Beliau dalam hantarannya di laman sosial Instagram mengagumi kemahiran dan keberanian Maya.
"Saya terkejut dan kagum melihat seorang wanita bekerja di atas puncak Menara Berkembar Petronas
"Saya tengok gayat dan seperti hendak jatuh tetapi beliau berani. Wanita Melayu zaman ini, mereka berani sehingga naik begitu (tinggi).
"Sudah tentu orang lain tidak berani. Beliau (Maya) menunjukkan kebolehan wanita Melayu yang kadang-kadang lebih daripada lelaki Melayu.
Semoga keberanian, kecekalan dan kesungguhan Maya menjadi inspirasi wanita yang lain.