PELAKON dan penerbit, Datuk Yusof Haslam meluahkan kegembiraan susulan kepulangan anak keduanya, pengarah Syamsul Yusof kembali ke pangkuan malam tadi.
Pengarah Maria Mariana dan Sembilu itu mendedahkan momen bermakna itu sangat dinantikan beliau, isteri dan seisi kelurga.
"Doa kami untuk Sol (panggilan Syamsul) akhirnya termakbul walaupun ambil masa bertahun.
Yusof berkata, beliau tidak menyangka Syamsul akhirnya membuka pintu hati dan kembali kepada pangkuan keluarga kelmarin.
"Kami tak pernah membenci darah daging sendiri, sebaliknya hanya titipkan doa setiap kali dalam solat," katanya.
Lapor Harian Metro, karyawan berusia 70 tahun itu berkata dirinya tidak pernah menyimpan dendam atau enggan memaafkan kesilapan Syamsul meskipun selepas bertahun-tahun tidak berjumpa.
Jelas Yusof, Syamsul sendiri bertindak menghubungi isterinya, Datin Patimah Ismail.
"Dia sendiri hubungi ibunya pada Isnin lalu dan menyatakan hasrat untuk berjumpa kami selepas lama terputus hubungan.
"Dia mendakap kami dalam wajah yang ceria dan kami menikmati makan malam bersama-sama," katanya.
Jelas Yusof, pertemuan berkenaan memberikan kesan emosi yang mendalam kepada isterinya.
'Pada pertemuan itu kami tak bicara hal-hal yang lepas, cuma berborak santai," katanya.
Yusof dalam masa yang sama berharap pertemuan bersama Syamsul akan terus berkekalan hingga akhir hayat.
"Semoga ikatan ini kekal hingga ke akhir hayat kami," katanya.
Semalam foto mereka sekeluarga yang dikongsikan Patimah menerusi Insta Story tular di laman sosial menyentuh hati ramai.
Terdahulu, Patimah memberi gambaran bakal bertemu anaknya dan akhirnya menjadi kenyataan.
Hubungan pengarah Mat Kilau itu dengan keluarga sebelum ini terputus susulan pergolakan rumah tangga dengan bekas isteri, Puteri
Sarah Liyana seterusnya selepas berkahwin lagi dengan Ira Kazar iaitu anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi.
Syamsul dan Ira yang juga anak kepada pelakon Kazar Saisi bernikah di Thailand pada 6 Januari 2023. Perkahwinan mereka didaftarkan di Perlis pada 20 Januari tahun sama dan berpisah pada 5 September 2024.
Pemilik nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof itu sebelum ini bercerai talak satu dengan pelakon Puteri Sarah Liyana pada 23 Jun 2023 selepas berkahwin pada 8 Mac 2014.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata Syaikul Islam, 7, dan Summayah, 5.
Sumber: Harian Metro