EMPAT tahun membina legasi, pempengaruh terkenal tanah air, Khairul Aming menutup operasi kilang selama lima hari bagi membawa kesemua 100 staf bercuti di lokasi pilihan iaitu Pulau Pinang.
Selain terkenal dengan perkongsian video masakan, beliau juga seorang majikan yang sangat mementingkan kebajikan pekerja.
Tidak hairanlah, ramai yang ingin bekerja di kilang milik anak jati Kelantan itu.
Menerusi hantaran video yang dimuatnaik baru-baru ini, Khairul dilihat memilih hotel bertaraf lima bintang berserta pemandangan laut sebagai tempat penginapan untuk semua kakitangannya.
Bukan itu sahaja, usahawan daging dendeng itu turut memberikan sejumlah wang saku buat perbelanjaan staf sepanjang berada di Pulau Mutiara itu.
Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman memaklumkan percutian tersebut merupakan aktiviti tahunan syarikatnya.
Malah empunya diri yang mesra disapa KA menegaskan, tiada perbincangan mengenai hal kerja (KPI), sebaliknya itu adalah masa untuk staf berehat dan berhibur semata-mata.
Usahawan itu juga menyediakan pelbagai jenis aktiviti sepanjang lima hari percutian tersebut termasuklah Escape Park, parasailing, banana boat termasuk meneroka bandar Georgetown.
Pada malam terakhir, beliau mengadakan acara makan besar bersama kakitangannya sebagai penutup tirai bagi percutian tahun ini.
Pemenang Creator of The Year Tiktok 2023 itu berkata, percutian itu merupakan tahun keempat diadakan syarikat itu sejak ditubuhkan pada 2021.
Khairul turut berharap dapat mengembangkan legasinya agar dapat berkongsi rezeki bersama pekerjanya pada masa akan datang.