TAHNIAH diucapkan buat pasangan selebriti Datuk Fizz Fairuz dan Datin Almy Nadia yang selamat menimang cahaya mata kelimanya.
Fizz menerusi Instagram berkongsi hantaran mengucapkan kesyukuran Almy selamat bersalin.
"Alhamdulillah, isteri saya sudah selamat melahirkan anak kelima.
"Terima kasih kepada yang mendoakan. Aamiin," katanya.
Penyampai stesen radio Suria FM itu terdahulu berkongsi foto memaparkan Almy dan katil bayi di hospital.
Pun demikian, pasangan itu belum mendedahkan jantina bayi mereka kepada umum.
Pasangan pelakon itu terdahulu mendedahkan bakal dikurniakan anak kelima ketika kandungan berusia lapan bulan dan dijangka dilahirkan awal Oktober.
Almy berkata, beliau dan Fizz bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan ALLAH selepas pulang menunaikan umrah hujung Disember lalu.
Dedahnya, beliau menyedari mengandung dua bulan selepas pulang dari Tanah Suci dan mengalami alahan teruk ketika awal kehamilan.
Fizz atau nama sebenarnya Mohd. Fairuz Zainal, 44, dan Almy Nadia, 38, berkahwin pada 26 April 2014 dan dikurniakan empat anak perempuan iaitu Nur Afrina Arianna, 9; Nur Afrina Aurora, 8; Nur Afrina Ayra, 6; Nur Afrina Aisyah, 3.
Mereka turut mempunyai seorang anak angkat, Nur Afrina Darwisyah, 15.