Bapa angkat Tionghua jaga 3 anak Melayu terima Anugerah Maulidur Rasul. Kebaikan Uncle Mike jadi inspirasi!

Iklan

MUNCUL satu-satunya lelaki berbangsa Cina sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024, lelaki 'berhati emas' Michael Tong Wai Siong, 55, menjadi inspirasi.

Iklan
Iklan

Menjadi bapa kepada kepada tiga anak lelaki berlainan bangsa dan agama tidak pernah terlintas di fikirannya, namun takdir telah mengubah hidup sosok dikenali sebagai Uncle Mike ini.

Atas jasa dan nilai murninya yang ditunjukkan dan membuktikan nilai rakyat Malaysia yang berbilang bangsa serta agama itu, ahli perniagaan berkenaan diangkat sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) di sini pada Isnin.

Iklan

Lebih manis lagi, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah kepadanya yang menjadi satu-satunya penerima berbangsa Cina menerima penghargaan pada hari istimewa bagi masyarakat Islam itu.

Iklan

Minatnya yang mendalam terhadap kerja kebajikan dan kerap mengikuti program rumah amal melalui kelab kereta yang disertai menemukan dirinya dengan tiga anak lelaki Melayu itu.

"Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya ini, terharu dan gembira bercampur baur. Tidak pernah sangka saya dari keluarga yang biasa ini dapat penghargaan sebegini rupa.

"Penghargaan ini memberi inspirasi dan motivasi kepada saya untuk terus melakukan kebajikan dan tolong lebih ramai yang memerlukan," katanya.

Menceritakan semula bagaimana bermula kisahnya mengambil tiga anak angkat berkenaan, ia bermula dengan pertemuan dengan seorang kanak-kanak Melayu yatim piatu lebih 16 tahun lalu di sebuah rumah anak yatim.

Menurutnya, pada mulanya dia hanya mengambil Rafei Ahmad Fauzi tinggal bersamanya yang pertama kali ditemui ketika berusia 12 tahun di rumah anak yatim di Gombak, Selangor.

Bagaimanapun, tidak sanggup melihat dua lagi adik Rafei bersedih kerana terpaksa berpisah, Michael memilih untuk menjaga ketiga-tiga mereka.

Kredit foto: Harian Metro

Kini, Rafei, 29, dan dua lagi adiknya, Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24, sudah hampir 16 tahun bersamanya dan kasih sayang terhadap mereka tidak pernah pudar meskipun tiada pertalian darah dan tidak saling mengenali sebelum ini.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang turut terbuka menerima ketiga-tiga anak angkat saya ini.

Michael nekad menjaga anak-anak angkatnya dan mahu mereka mendapat kehidupan lebih baik termasuk dalam aspek akademik dan agama.

Menggalas tugas ibu dan ayah, Micheal bersyukur keluarganya sendiri menjaga anak-anak angkatnya seperti darah daging sendiri.

"Pada mulanya memang takut juga kerana tiada pengalaman, sebab itu saya ambil seorang saja dahulu tetapi ramai rakan memberi sokongan dan membantu.

"Keluarga saya juga tidak membantah, malah mereka terutama ibu (Oh Siew Eng, 86) melayan mereka seperti keluarga dan cucu sendiri," katanya.

Menyedari tidak mampu memberi didikan agama Islam, Micheal sanggup mengupah tenaga pengajar. Malah, beliau turut menyediakan sajian sahur dan berbuka serta menitikberatkan gaya hidup yang bersesuaian.

"Saya tahu kami berbeza agama, tetapi mahu mereka meneruskan pendidikan agama biarpun tinggal bersama. Jadi, saya minta seorang ustaz mengajar mereka mengaji di rumah setiap malam.

"Saya juga akan masak lauk sahur dan buka puasa untuk mereka, malah kami berpuasa bersama sepanjang Ramadan," katanya.

Inspirasi betul kisah Uncle Mike. Penulis turut mengimbas kembali pengorbanan pesara guru tadika, Chee Hoi Lan, 85, atau mesra dipanggil Laoshi yang menjaga anak angkat beragama Islam dikenali sebagai Rohana.

Laoshi tidak pernah menjadikan perbezaan budaya dan agama sebagai penghalang untuk menumpahkan kasih sayang kepada Rohana seperti anak sendiri malah memastikan anak angkatnya mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) untuk mempelajari ajaran Islam.

Warga emas itu pilih sebagai penerima Anugerah Ibu Sejati-Keluarga Malaysia sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun 2022.

Sumber: Sinar Harian