PERGOLAKAN rumah tangga pelakon dan usahawan Fazura terus menjadi perhatian para peminat.
Dalam perkembangan terbaru, pengurusnya, Iman Tang mendedahkan beliau termasuk peguam yang dilantik dan Fazura tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung permohonan cerai yang dibuat selebriti berkenaan terhadap suaminya, Fattah Amin.
Iman menjelaskan pihaknya juga tidak pernah memperincikan butiran memohon cerai secara baik atau berkongsi tarikh prosiding seperti yang tersebar sejak semalam.
"Permohonan yang difailkan adalah satu permohonan cerai dengan kebenaran mahkamah sebagaimana kehendak undang-udang," kata Iman.
Dalam pada itu, Iman berharap pihak luar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai konflik rumah tangga membabitkan Fazura dan Fattah.
"Pihak pengurusan berharap agar tiada pihak membuat sebarang kenyataan berbentuk andaian sendiri bagi mengelakkan pelbagai spekulasi," katanya.
Terdahulu, media melaporkan Fazura memfailkan perceraian secara baik daripada Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada 13 September menerusi peguamnya.
Wujud juga dakwaan pasangan berkenaan bakal menghadiri prosiding di mahkamah berkaitan isu perceraian pada 25 September ini.
Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, dan Abdul Fattah bin Mohd Amin, 34, mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Pasangan itu dikurniakan cahaya mata tunggal, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.