MINAT membuatkan ada yang sanggup melabur ribuan ringgit semata-mata mahu memiliki barangan yang disukai. Apatah lagi jika barangan tersebut adalah koleksi eksklusif atau edisi terhad.
Pinggan mangkuk antara koleksi kegemaran yang ada dalam senarai yang disukai kaum Hawa.
Ada antara pengumpul barangan itu mengakui hiasan meja makan yang cantik dan lengkap dapat mencipta pengalaman menikmati hidangan yang lebih bermakna bersama keluarga.
Lebih menarik apabila makanan dihidangkan dalam pinggan mangkuk mewah dan berkualiti, sekali gus mencerminkan identiti pemilik.
Bahkan, ia dilihat bukan sahaja alat yang boleh digunakan untuk menghidangkan makanan, malah turut menjadi sebahagian daripada hiasan dalam rumah.
Terpegun mata yang memandang tatkala melihat koleksi yang hadir dalam pelbagai corak dan rekaan.
Lebih-lebih menjelang musim perayaan, mula lah keluar segala set pinggan mangkuk yang cantik dengan pelbagai corak indah. Betul, tak?
Jika di Amerika Syarikat terkenal dengan set pinggan mangkuk Corelle, United Kingdom pula sinonim dengan Portmeiron.
Pinggan mangkuk dan hiasan seramik terkemuka buatan Britain itu cenderung kepada konsep hiasan gaya Inggeris.
Signatur bagi rekaan pinggan mangkuk jenama berkenaan adalah corak lingkaran atau border rona hijau pada pinggan mangkuk tersebut. Pun begitu, ada juga sebagaiannya yang tidak diletakkan border berkenaan.
Terdapat dua bahan yang digunakan untuk membuat pinggannya iaitu porselin dengan tembikar atau earthenware. Oleh kerana pelbagai jenis bahan digunakan berbeza untuk jenis pinggan tertentu, ada yang boleh digunakan dalam ketuhar gelombang mikro dan ada yang tidak.
Walaupun ada banyak keluaran dan rekaan yang dihasilkan, corak Botanic Garden paling menjadi buruan sang pencinta jenama berkenaan. Antara corak yang begitu laris adalah Botanic Garden dengan motif bunga-bungaan dan daun berangkai.
Selain dari pelbagai corak yang memikat hati, portmeirion juga datang dengan pelbagai bentuk seperti pinggan makan, mangkuk, cawan dan teko dengan saiz yang berbeza.
SinarPlus baru-baru ini dijemput menghadiri satu majlis anjuran SZBlooms yang merupakan pengedar rasmi pinggan mangkuk jenama terkenal itu.
Ringkas tapi elegan
Menurut pengasas SZBlooms, Ir Syanita Zur, minat antara sebab mengapa beliau daripada pembeli akhirnya menjadi pengedar rasmi jenama berkenaan di Malaysia bermula setahun yang lalu.
"Selain corak bunga besarnya di bahagian tengah, pinggan mangkuk ini juga datang dalam pelbagai jenis warna serta satu-satu koleksi memainkan peranan untuk tampil lebih eksklusif selain menyerlahkan lagi ciri-ciri kemewahan padanya.
"Sehingga kini terdapat lebih 30 koleksi yang saya tampilkan dan paling disukai sememangnya Botanic Garden. Antaranya Botanic Bird, Botanic Roses dan banyak lagi.
"Sementara untuk koleksi Portmerion Homes pula rekaannya lebih minimalis, kontemporari yang mana nampak ringkas tapi tetap elegan," ujar beliau.
Menolak tanggapan kononnya jenama tersebut hanya memfokuskan pada T20, kata Syanita, kini ia mampu dimiliki semua golongan dengan set pinggan mangkuk mampu milik.
"Memang tidak dinafikan sejak dahulu lagi jenama portmerion terkenal dalam golongan elit. Namun, kami menyahut saranan kerajaan yang memperkenalkan Program Rahmah.
"Justeru, beberapa koleksi yang ada di kedai turut ditawarkan untuk semua golongan. Menariknya kami mendapat hak eksklusif untuk Portmerion Homes disebabkan program tersebut,"jelas Syanita lagi.
Beliau dalam pada itu turut diminta berkongsi tip dalam penjagaan pinggan mangkuk tersebut bagi memastikan ia tahan lebih lama.
"Caranya cukup mudah, selepas mencuci, keringkan ia terlebih dahulu bagi memastikan tiada air yang bertakung.
"Ini kerana, air yang bertakung dan dibiarkan lama tanpa mengelap, menjadi salah satu punca kerosakan atau keretakan pada pinggan," ulas Syanita sebelum menutup perbualan.