KERJA sebagai penghantar barang lazimnya boleh cecah ribuan ringgit kalau rajin buat trip ke rumah pelanggan.
Lagi masyuk, kalau dapat tip untuk setiap penghantaran. Bolehlah cover kos duit minyak dan penat lelah seharian.
Bayangkan kalian boleh dapat gaji mencecah lebih RM20,000 untuk tempoh sebulan untuk buat kerja delivery saja!
Ya, itulah yang berlaku di Seoul, Korea Selatan apabila kisah seorang penghantar barang menjadi sensasi di media sosial.
Mana tidaknya, kisah Kim Soo-hyeon menjadi bualan ramai apabila mendedahkan dirinya menerima pendapatan hampir 7 juta won (RM21,995.75) setiap bulan.
Lapor The Korean Times, pemuda berusia 34 tahun itu merupakan pekerja untuk servis penghantaran barang di Pulau Ulleung yang memiliki populasi seramai 9,000 penduduk.
Walaupun hanya sesi raptai, persembahan yang ditonjolkan sangat luar biasa dan pasti ia akan memukau penonton pada 31 Ogos depan.
Nak dijadikan cerita, Soo-hyeon yang berkongsi rakaman video mengenai kehidupan seharian menunjukkan rutin bermula menunggu barang sampai dari pangkalan jeti feri.
Beliau kemudian memuatkan semua barangan di dalam trak sebelum memulakan operasi penghantaran ke rumah-rumah penduduk.
Barangkali disebabkan jalan tidak rata, berbukit dan sempit, lelaki itu terpaksa mengangkat kesemua barang menggunakan tenaga sendiri.
Memetik cerita Soo-hyeon, pekerjaan sebenarnya bermula selepas misi penghantaran barang dengan cabaran laluan yang tidak boleh dilalui kenderaan.
"Hampir semua jalan di sini tak rata dan tak boleh diakses dengan kenderaan. Jadi, saya terpaksa angkat peti sejuk dengan kudrat sendiri,” katanya yang merupakan pekerja Coupang Deliveryman.
Syarikat penghantaran terbabit menawarkan polisi penghantaran 24 jam untuk penduduk di pulau berkenaan.
Waktu kerja fleksibel
Cerita lelaki itu lagi, waktu kerjanya juga berbeza mengikut permintaan pelanggan dan bergantung kepada faktor cuaca semasa.
"Memang penat dengan beban kerja menggunakan tenaga, tapi bila tengok baki akaun bank, saya jadi bersemangat untuk terus bekerja,” katanya.
Uniknya, pulau terpencil tersebut bergantung sepenuhnya bekalan dari luar termasuklah bahan api dan keperluan rumah pada harga lebih mahal.
Jadi, mereka bergantung sepenuhnya dengan servis penghantaran Coupang tanpa perlu keluar rumah atau menaiki bot untuk membeli-belah ke tanah besar.
Fuhh! Tak sanggup rasanya nak angkat peti ais atau bertan-tan kotak untuk ke rumah pelanggan dengan jalan sempit dan berbukit.
Betullah orang kata, nak seribu daya tak nak seribu dalih. Kerja apa-apa pun mesti ada cabarannya dan paling penting, kena berbaloi dengan gaji. Betul tak?