MENYAMBUT kelahiran anak tunggal tersayang, pelakon dan usahawan Nur Fazura Sharifuddin, 41, menzahirkan perasaan dan ucapan yang menyentuh hati.
Fatima yang genap empat tahun pada 2 Oktober disifatkan Fazura sebagai anak yang kuat dan tabah serta sering mempamerkan sifat empati.
"Bismillahi Masya-ALLAH. Syukur Alhamdulillah hari ini anakandaku Nur Fatima Aisya genap berumur 4 tahun.
"Fatima sayang, Mommy telah mendoakanmu sebelum awak lahir dan saya akan terus mendoakan sepanjang hayat.
"Fatima anak yang baik. Bukan sahaja mempunyai hati yang besar, kamu luar biasa kuat, tabah dan berdiri teguh pada apa yang anda mahu.
"Kamu selalu mengambil berat dan penuh empati terhadap semua orang yang temui terutamanya Mommy sebagai ibu," titip Fazura yang memuat naik video 'throwback' pembesaran Fatima dari lahir hingga kini.
Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, pelakon Gol & Gincu itu mengakui tiada parti hari lahir buat puterinya pada tahun ini.
"Walaupun tahun ini mommy tak dapat throw you the biggest private parties like I have in the past, tetapi yakinlah bahawa Mommy menyayangi awak lebih daripada yang boleh digambarkan dengan kata-kata.
"Bersyukur sentiasa wahai anakku sayang di dalam apa saja keadaan dan selalulah berterima kasih kepada ALLAH SWT dan hargai semua orang yang menyayangimu.
"Mommy akan sentiasa ada di sisi Fatima di saat susah dan senang dengan izin Allah SWT. Mommy bersyukur setiap hari untuk memiliki Fatima dalam hidup ini dan segala pengorbanan malam tanpa tidur menjagamu ketika kamu masih bayi sangat berbaloi sehingga jika Mommy mempunyai peluang untuk melakukannya sekali lagi, Mommy sanggup," titipnya.
Dalam pada itu, Fazura juga mendoakan agar cahaya mata perempuannya dijauhi daripada manusia bernafsu syaitan dan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.
"I love you so much my baby girl, forever and always. Semoga Fatima terus membesar dengan sebaik-baiknya, dilindungi ALLAH SWT daripada manusia berhawa nafsu syaitan, menjadi anak yang solehah, sentiasa menyayangi diri sendiri dan berbuat baik kepada semua orang, berjaya di dunia akhirat. Mudah-mudahan aaminnn.
"Stay joyful and happy as you are, buah hati ku," titipnya.
Untuk rekod, Nur Fatima Aisya dilahirkan pada hari Jumaat, 2 Oktober 2020 ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan diadakan di seluruh negara.
Si kecil itu adalah hasil perkongsian hidup pasangan popular dengan singkatan Fattzura itu sejak berkahwin pada 27 November 2017.
Fazura terdahulu memohon untuk bercerai mengikut Seksyen mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menerusi peguamnya pada 13 September.