'Cari suami faham agama, berdamai dengan kemampuannya.' Pesanan Nora Danish & Neelofa tentang jodoh buat ramai setuju

Iklan

ISU rumah tangga menjadi perhatian ramai sejak akhir-akhir ini. Masakan tidak, tiada ribut, tiada hujan, beberapa pasangan popular yang dilihat sentiasa bahagia mengambil jalan perceraian.

Sekelip mata topik nafkah, sekufu dan iddah tiba-tiba menjadi popular dan menjadi tajuk bualan di media sosial!

Iklan
Iklan

Mungkin secara kebetulan, pengacara dan usahawan Neelofa dan Natasha Ozeir terdahulu mengulas isu itu dalam rakaman podcast Julai lalu dengan mengundang pelakon Nora Danish, 42, untuk berkongsi mengenainya.

Malah pada kapsyen, dijelaskan bahawa konten berkenaan tiada kaitan dengan mana-mana pihak atau isu semasa. Sementelah, katanya program berkenaan sudah dirakam awal lagi.

Iklan

Pemilik nama Nora Danish Hanif itu sempat berkongsi pendapatnya mengenai perkahwinan.

"Bila kita kahwin kerana cinta, cinta itu yang akan melukakan anda. Kalau kita kahwin kerana ALLAH, walaupun klise bunyinya, jalan menuju kepada ALLAH itu indah," kongsi Nora.

Iklan

CARI LELAKI FAHAM AGAMA

Dalam masa sama, Neelofa turut menitipkan pesanan buat adiknya yang boleh dijadikan panduan buat wanita yang masih mencari pasangan hidup.

"Saya ada adik yang masih belum berkahwin. Saya beritahunya untuk berkahwin, carilah orang yang faham cara untuk galas tanggungjawabnya itu (sebagai suami).

"Saya rasa kalau tanggungjawab itu dia faham, ia (rumah tangga) akan lebih mudah. Bukan soal kerja apa walaupun ia penting," tutur Neelofa.

Isteri kesayangan PU Riz itu juga turut mengimbau perjalanan cinta mereka hingga berumahtangga pada 27 Mac 2021 biarpun lelaki dikasihinya lebih muda.

"Ketika saya berjumpanya, kami berbeza usia enam tahun. Dia masih belajar dan melakukan kerja bukan sepenuh masa.

"Tetapi 'deep down' saya tahu, dia faham tanggungjawab bukan sahaja dalam agama. Seperti bagaimana saya lihat ayah dia memimpin keluarga, insya-ALLAH dia pasti dapat menggalasnya," kata Neelofa.

BERDAMAI DENGAN KEMAMPUAN SUAMI

Bercakap mengenai nafkah daripada suami, Neelofa berkongsi pendapatnya sendiri.

"Bila berkahwin, suami perlu sediakan rumah walau sekecil manapun menurut kemampuannya dan wanita perlu menerima (seadanya).

"Ramai orang nak menyelesaikan ia selepas berkahwin tetapi sebenarnya perlu berdamai (dengan perkara itu) sebelum berkahwin," katanya.

NORA TIDAK BERGANTUNG KEPADA DUIT LELAKI

Dalam audio siar yang sudah mencecah lebih 300,000 tontonan itu, Nora turut mendedahkan beliau bukan wanita materialistik walaupun kedua-dua bekas suaminya dilahirkan dalam keluarga yang berpengaruh.

Kata pelakon drama Puteri itu, beliau tidak memandang harta sebagai kriteria dalam pemilihan teman hidup.

"Bila tengok perjalanan hidup saya, nampak macam memang betul saya memilih status dan sesuatu. Tengoklah siapa bekas suami pertama dan kedua saya.

"Tetapi kalau tengok sebelum saya berkahwin, teman lelaki saya semua orang biasa. Cuma kerana perwatakan mereka (bekas suami) yang buat saya tertarik.

"Malah kedua-dua bekas suami saya yang ajak saya kahwin, bukan saya. Saya tak pernah ada kriteria untuk memilih, tak ada... dia datang sendiri," katanya.

Wanita berdarah kacukan Arab dan Myanmar itu juga memberitahu tidak pernah mengharapkan wang daripada bekas suami sepanjang perkahwinan mereka.

"Kedua-dua bekas suami saya pun boleh setuju yang saya satu sen pun tak pernah minta duit mereka.

"Sejak kecil ibu saya ajar saya untuk jangan minta duit orang. Saya suka manjakan diri dengan duit saya sendiri,"ujar Nora.

Pelakon kecil molek itu juga mengakui tidak pernah melihat kehidupan perkahwinan yang bahagia memandangkan beliau dibesarkan oleh ibu tunggal sejak kematian bapa.

"Jadi saya tak tahu macam mana layanan suami isteri yang betul. Saya tak cakap saya isteri yang baik, jauh sekali. Tetapi kalau saya belajar lebih, saya mungkin dapat menguruskan perkahwinan dengan baik," jelasnya.

Warganet yang mengikuti podcast berkenaan mengakui menitiskan air mata mendengar perkongsian tulus Nora dan menitipkan doa agar beliau dikurniakan kebahagiaan.

"Sebak menitis air mata tengok penghijrahan Nora. Nora cerita sangat ikhlas, moga terus berbahagia."

"Nora buat saya menangis, nampak dia hanya mahu ketenangan. Bertuah juga Lofa, biar lambat kahwin asalkan dapat suami yang tepat."

"Masya-ALLAH. I love Nora. Setiap perkataannya sangat ikhlas."

Sekadar rekod, Nora bercerai dengan Nedim Nazri pada 19 Jun 2024. Mereka yang berkahwin pada 30 Mac 2017 dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Mohamed Neqayl, 6.

Terdahulu, Nora berkahwin kali pertama dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15. Namun kedua-duanya berpisah pada 2008.

Sumber: TikTok, 1