WAH, dalam diam-diam aktor Sharnaaz Ahmad kini muncul sebagai pemilik kelab bola sepak.
Hebat dan bukan calang-calang ni, kan! Pencapaian yang cukup membanggakan buat pelakon yang mesra disapa Mamu itu. Bahkan, pengumuman tersebut menjadi kejutan buat para peminatnya.
Pemilik nama Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad yang memang diketahui meminati sukan bola sepak memuat naik satu hantaran yang mengumumkan dirinya sebagai pemilik kelab bola sepak amatur Carabat FC.
Difahamkan, kelab yang baharu ditubuhkan pada tahun ini bakal beraksi dalam Liga Selangor (FAS League).
Menerusi laman sosial rasmi Carabat FC, pelakon berusia 39 tahun itu berkata, kelab tersebut adalah platform kepada pemain amatur dalam mempamerkan bakat.
"Penubuhan kelab didorong oleh semangat kesukanan dan keinginan untuk menyediakan platform untuk pemain berbakat untuk mempamerkan kebolehan mereka.
"Dengan tumpuan kepada kedua-dua prestasi kompetitif dan pembangunan pemain, Carabat FC berazam untuk berada di peringkat lebih tinggi dalam bola sepak Malaysia.
"Saya harap kami boleh mencapai lebih banyak kejayaan dalam masa terdekat dan membuat penampilan sulung kami dalam Liga Super FAS," kata kenyataan rasmi Sharnaaz.
Sekadar makluman, kelab berkenaan bakal beraksi dalam satu perlawanan menentang Bangi City untuk aksi persahabatan kedua pada 19 Oktober ini di KV Arena, Shah Alam.