SAMA cantik sama padan, bagai pinang dibelah dua.
Manis dan menawan, demikianlah tepat menggambarkan pasangan mempelai diraja, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan pada istiadat persandingan di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz.
Kedua-duanya tampil elegan dengan sepersalinan putih gading. Tengku Muhammad Iskandar memakai sepersalinan tradisional siap bersamping dan bertanjak Pahang manakala Tengku Natasya Puteri pula menggayakan gaun potongan A-line rekaan pereka Indonesia Hiantjen.
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj. Baginda berdua dan dan paduka anakanda tampil menawan menggayakan busana rona kuning air.
Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan paduka-paduka adinda serta kerabat bergelar.
Seramail 16 orang jejawat lilin masuk ke Balai Mahkota sebelum Tengku Natasya Puteri yang tampil anggun dalam busana berona putih dengan kilauan hiasan dibawa tepat pukul 8.40 malam.
Tengku Muhammad kemudian dibawa masuk ke Balai Mahkota bersama Sirih Lat-Lat yang kemudiannya diserahkan kepada Tengku Natasya Puteri sebagai tanda bermulanya Istiadat Bersanding.
Istiadat Bersanding dimulakan dengan istiadat menyuap nasi semangat atau pulut kuning kepada pasangan pengantin oleh kekanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hajah Tengku Muhaini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Ayahanda pasangan diraja, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah berkenan memulakan istiadat merenjis pasangan pengantin diikuti Tengku Ampuan Pahang, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut merenjis pasangan pengantin ialah Menteri Besar Pahang Datuk Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail serta isteri, Datin Seri Diraja Datuk Burhah Mohammed diikut Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Dr Hajah Meriam binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan pembantu Paduka Baginda, Datuk Anna Gibbon.
Istiadat Persandingan diakhiri dengan upacara meletak Pancabicara atau peralatan istiadat yang digunakan dalam istiadat perkahwinan serta istiadat-istiadat Diraja yang lain oleh KDPB Sultan Pahang di atas kepala pasangan pengantin.
Keberkatan istiadat persandingan yang berlangsung dipohon melalui bacaan doa oleh Sahibus Samahah Mufti Pahang Prof. Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim sebelum pasangan Pengantin Diraja meninggalkan Balai Mahkota untuk sesi bergambar di Balai Panglima.
Pasangan Pengantin Diraja kemudiannya menuju ke Balai Bendahara bagi majlis memotong kek dan menikmati jamuan makan bersama semua jemputan yang hadir.
Istimewanya, semua hadirin dijamu menu-menu tradisional negeri Pahang antaranya Patin Buah Tempoyak, Ayam Kampung Asam Rom, Ayam Kampung Gulai Tempoyak, Ikan Pekasam Pahang, Sambal Peda, Daging Pacak, Bubur Murai dan Aiskrim CheMinahSayang.
Tengku Muhammad Iskandar iaitu pewaris takhta kedua Kesultanan Pahang sah bergelar suami kepada Tengku Natasya Puteri berwalikan bapa pengantin perempuan dengan sekali lafaz tepat pukul 8.59 malam, Khamis.
Sumber: Kesultanan Pahang