Tidak pentingkan kesempurnaan, Ummi Nazeera mahu jadi isteri, ibu terbaik. 'Enggan silap langkah, beri kesan pada anak.'

Iklan

SELEKTIF dalam memilih watak, rahsia selebriti kecil molek itu kekal relevan. Demikian tanggapan segelintir peminat dunia lakonan terhadap pelakon serba boleh, Ummi Nazeera.

Namun, andai dicongak sememangnya itu adalah satu fakta. Lihat sahaja lakonannya dalam drama bersiri, Nur Kasih, Risik Pada Hati dan Rindu Kasih menjadi fenomena sehingga meraih pujian ramai.

Iklan
Iklan

Kehebatan anak seni itu menjiwai karakter dalam setiap drama lakonannya cukup dikagumi sehinggakan meruntun jiwa penonton.

Pemilik nama sebenar, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin dalam temu bual eksklusif bersama SinarPlus baru-baru ini hanya tersenyum malu tatkala pujian dilontarkan buat empunya diri.

Iklan

"Alhamdulillah, ini tahun ke 17 saya bergelar anak seni dan masih kekal relevan. Sejak dahulu saya memilih karya dan pastikan watak yang dibawa menarik untuk ditonton. Saya bukan buat atas dasar melengkapkan tawaran semata-mata sedangkan isinya tiada.

"Peluang saya dalam industri lakonan terbuka apabila Erma Fatima melorongkan jalan saya ke arah tersebut. Sejujurnya perjalanan awal tidak mudah kerana terpaksa bersaing dengan nama-nama yang sudah hebat dan berpengalaman seperti Erma sendiri, Datuk Rosyam Nor dan ramai lagi.

Iklan

"Pada masa sama, saya bersyukur kerana langkah sebagai pelakon bersama dengan pelakon berpengalaman, profesional dan berbakat. Mereka yang banyak mengajar saya erti dedikasi, keikhlasan, lakonan selain membentuk siapa Ummi Nazeera pada hari ini,” ungkap anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi.

Terbuka hati

Bicara kami terus menerobos jauh ke dasar hati empunya diri dalam berkongsi isi hati sebagai anak seni yang bukan sekadar memandang dunia glamor, sebaliknya inginkan yang terbaik dalam kerjayanya.

"Sebenarnya tak mudah berbuat demikian kerana saya berada dalam lingkungan mereka yang hebat-hebat belaka dan masing-masing nak jadi yang terbaik.

"Namun, saya cuba letak faktor tak mudah itu dalam minda supaya setiap projek yang diperoleh kena beri yang terbaik dan tak boleh sekadar tangkap muat sahaja,” ujarnya lagi.

Kepada tuan punya badan, penulis turut mengajukan minatnya dalam cabang seni lain.

"Menyanyi? (sambil ketawa), risau pula kalau jadi penyanyi orang tutup telinga tak? Mungkin saya menyanyi sorang-sorang cukuplah. Ada terfikir tentang itu (menyanyi) tetapi tidaklah jenis yang nada tinggi, mungkin irama jazz dan sebagainya yang akan saya cuba. Kalau ikutkan ada tawaran tetapi saya belum terbuka hati untuk melangkah ke fasa itu. Doakan ya. Begitu juga dengan bidang pengarahan.

"Saya tidak terfikir sebelum ini. Insya-ALLAH jika ada rezeki,” ulas pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dari Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) di Melbourne, Australia itu lagi.

Ibu contoh

Selain dunia lakonan, Ummi Nazeera juga menceburi bisnes tudung.

"Kalau diikutkan memang saya sudah ada bisnes sendiri (jual tudung) namun tidak terlalu menonjol. Selain itu, saya juga turut membantu bisnes keluarga. Mungkin orang ingat kalau tak ada shooting saya hanya duduk di rumah.

"Sebenarnya macam-macam kerja saya lakukan, selain hantar anak-anak ke sekolah, saya juga masuk ke pejabat atau hadir mesyuarat.

"Setakat ini pembahagian masa tiada masalah sebab pengurusan keluarga, saya yang atur.



"Pun begitu, tidak bermakna saya jenis inginkan kesempurnaan cuma mahu pastikan perjalanan harian kami sekeluarga teratur. Suami juga selalu membantu. Malah, dia banyak menjaga anak. Alhamdulillah, saya dikurniakan suami dan ayah yang bertanggungjawab,”ungkap Ummi Nazera lagi.

Diminta berkongsi tip bagaimana mampu berjaya dalam kerjaya dan pada masa sama melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri serta ibu dengan baik, ini jawapan Ummi Nazeera.

"Bagi saya, setiap orang ada kerjaya masing-masing. Kita semua berbeza dan saya, alhamdulillah diberi peluang rehat seketika.

"Lagipun kerja saya bukan 9 hingga 5 petang seperti wanita lain, jadi susah untuk saya beri komen tentang hal berkenaan. Malah, setiap kerjaya wanita berbeza cuma apa yang boleh saya katakan jangan cepat putus asa,” kongsinya lagi.

Sementara itu, kepada tuan badan ditanya sama ada akan merestui andai suatu hari nanti anak-anaknya mahu mengikut jejak langkah dalam dunia seni, kata Ummi Nazeera, dia tidak kisah asalkan mereka perlu menamatkan pengajian terlebih dahulu.

"Saya bukanlah ibu atau isteri yang suka mengawal, kalau anak-anak minat, saya benarkan tetapi bersyarat. Kalau diikutkan anak sulung ada menampakkan minat ke arah tersebut (jadi pelakon). Semasa mengadakan konsert di sekolahnya, cikgu ada merakam video dan bertanyakan nak jadi apa besar nanti dan dia menjawab mahu jadi aktres.

"Pernah juga sebelum ini dia buat panggilan video sambil tunjuk saya dalam televisyen. Bukan itu sahaja, dia pernah buat pencarian tentang saya di internet.

"Selepas menonton video tersebut barulah saya faham. Maknanya, seorang ibu itu menjadi contoh kepada anak-anak. Sebab itu saya kena cuba sedaya upaya tidak tersilap langkah kerana ia boleh beri kesan kepada anak-anak. Saya tidak mahu mereka ikut jejak langkah yang tidak betul,” tegasnya.

Seorang yang pemalu

'Membedah' lebih mendalam isi hati wanita berusia 34 tahun itu menemui satu lagi sisi peribadi yang diakui ramai yang tidak sedar iaitu dirinya seorang yang pemalu.

"Ya, saya memang pemalu orangnya dan bukan jenis yang suka kongsi segala-galanya di media sosial. Demikian juga hal peribadi terutama berkaitan kebahagiaan sekeluarga kerana kita tak tahu apa akan jadi.

"Sebab itu, tidak perlu semuanya nak dipertonton kepada umum terutama berkaitan masalah atau tengah bersedih. Cuma sebagai selebriti, orang nak tahu cerita kita, jadi tak salah kongsi tetapi tidaklah kesemuanya.

"Sementelah sekarang ini macam-macam isu dan kes yang berlaku terutama penyakit 'ain' di media sosial membuatkan saya berjaga-jaga bagi mengelak perkara yang tidak sepatutnya. Soal suami yang suka kongsi, terpulang, saya tidak menidakkan keputusan yang dia lakukan dan saya tak kisah,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, penulis turut bertanyakan pembahagian masa yang dilakukan antara kerjaya dan rumah tangga. Akui Ummi Nazeera, andai tiada penggambaran, dia lebih gemar menghabiskan masa dengan anak-anak.

"Saya rasa macam kurang masa bersama mereka bila sibuk kerja. Selain itu, saya juga suka melakukan aktiviti senaman atau pilate.

"Bila buat aktiviti tersebut membuatkan hati saya lebih gembira. Ada masanya saya buat kejutan untuk mama dengan tiba-tiba muncul depan matanya,” ujarnya sambil tersenyum manis.

Menyentuh lebih lanjut aktiviti olahraga yang menjadi minatnya, pasti ramai yang bersetuju dengan penulis.

Pelakon drama Andai Tiada Dia itu sememangnya memiliki tubuh seperti anak dara walaupun sudah memiliki dua anak.

"Alhamdulillah, memang saya sangat menitikberatkan soal kesihatan diri.

"Saya amalkan minum air kosong yang secukupnya, elak ambil air manis dan makan malam melainkan perlu hadir majlis tertentu.

"Saya kurang makan nasi sebaliknya lebihkan pengambilan roti.

"Sehingga kini, saya masih ingat pesanan ibu, kalau nak dapatkan kembali bentuk badan macam anak dara kena berpantang betul-betul selepas bersalin.

"Itulah yang saya praktikkan selepas melahirkan anak kedua. Waktu kelahiran anak sulung saya tidak berpantang sangat sebab bersalin secara pembedahan, sementara anak kedua barulah secara normal,” katanya.

Tatkala diusik adakah mahu menambah ahli baharu dalam keluarga, sambil ketawa isteri kesayangan Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani mengakui belum ada perancangan ke arah itu.

"Oh tidak. Alhamdulillah, kami sudah punya dua anak perempuan dan belum terfikir lagi bab untuk tambah anak lagi. Sekarang saya dan suami mahu fokus, beri yang terbaik kepada anak-anak,” kata Ummi Nazeera yang ditemui baru-baru ini dalam satu majlis sidang media drama Andai Tiada Dia.

Sekadar makluman drama terbaharu itu merupakan naskhah terbitan Global Station mengenai kehidupan pasangan suami isteri yang sedang bergelut dengan dilema untuk mempunyai zuriat, ditambah dengan konflik percintaan terlarang antara adik dan juga abang ipar, serta ketabahan seorang wanita menghadapi pengkhianatan dalam perkahwinan. Naskhah ini juga membawa para penonton menyelami turun naik emosi dalam setiap konflik yang dipaparkan.

Penceritaan drama penuh emosi suka duka menerusi 36 episod ini adalah hasil sentuhan pengarah Riza Baharudin. Drama ini menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Hisyam Hamid, Ummi Nazeera, Mimi Lana dan juga Zahiril Adzim.