MANA ada orang yang suka bila dengar kes yang membabitkan penceraian, baik yang melibatkan artis ataupun orang biasa.
Lebih-lebih lagi bagi yang ada anak, apa nasib si kecil bila si ayah dan ibu mengambil keputusan untuk tidak lagi sebumbung.
Indusri hiburan Malaysia baru-baru ini dihidangkan dengan beberapa berita penceraian yang melibatkan selebriti-selebriti terkenal.
Sehingga mengundang tanda tanya kepada orang ramai khususnya peminat artis berkenaan, apa sudah jadi. Nampak bahagia rupa-rupanya ada duka yang terpendam,
Itu yang membuat pasangan yang sudah berkahwin rasa cuak, risau jika rumah tangga mereka pun terkena ujian yang sama. Bagi individu yang masih belum berkahwin atau yang tengah merancang untuk berkahwin, pasti sedikit sebanyak kes sebegini menimbulkan kerisauan jika hal tersebut turut menimpa diri kelak.
Penulis ada terbaca perkongsian pelakon Azhar Sulaiman, yang turut mengakui hal yang sama. Kata beliau, hatinya dilanda rasa bimbang dan ketakutan bila memikirkan isu rumah tangga yang melibatkan rakan-rakan artis.
Dalam sebuah hantaran di Instagram miliknya, bapa kepada Kasih Iris Leona itu meluahkan rasa sedih apabila melihat rakan artis berpisah dengan pasangan masing-masing.
Bahkan, beliau mengakui tahun 2024 seolah-olah menjadi tahun malang buat banyak pasangan selebriti yang telah berpisah.
"Tahun 2024 merupakan tahun yang buruk kepada ramai pasangan selebriti yang telah berpisah. Rasa sedih dan takut mula menyakat minda Behar.
Hantaran itu turut dipenuhi dengan gambar manis bersama isteri tercinta, Chempaka Emalin Pahamin, serta ketiga-tiga cahaya mata mereka yang melengkapkan keluarga kecil itu.
Di ruangan komen, netizen tidak putus-putus mendoakan agar kebahagiaan terus menyelubungi rumah tangga bekas finalis Hero Remaja 1990/1991 itu bersama isteri tersayang.
Sekadar makluman, Azhar dan Chempaka telah mengikat tali perkahwinan pada 23 Julai 1995 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Kasih Leia Ixora, Andika Rees Pahamin, dan Kasih Iris Leona.