SETIAP orang pasti berhadapan dengan masalah gigi sehingga menyebabkan anda terpaksa mencabutnya, namun gigi rongak sedikit sebanyak membuatkan seseorang itu kurang keyakinan diri.
Oleh itu, penyelesaian mudah untuk mengembalikan semula gigi yang hilang adalah dengan membuat implan atau lebih dikenali sebagai tanam gigi.
Gigi asal terdiri daripada mahkota (crown) iaitu bahagian atas gusi dan akar iaitu bahagian yang tersembunyi di bawah gusi (dalam tulang rahang).
Apabila seseorang itu kehilangan gigi, doktor akan mencadangkan untuk mewujudkan semula bahagian mahkota dengan memilih kaedah yang terbaik untuk menggantikannya.
Itulah antara faktor kenapa kaedah implan diwujudkan. Rawatan tersebut merupakan satu kaedah yang mana silinder logam atau skru titanium diletakkan ke dalam tulang rahang iaitu tempat gigi asal yang telah dicabut. Skru bertindak seperti akar yang akan memegang gigi gantian tersebut.Pegawai Pergigian dari Klinik Pergigian Dental World, Dr Natashya Anuar dalam satu temu bual mendefinisikan implan sebagai salah satu rawatan yang mana doktor akan mencadangkan kepada seseorang apabila gigi mereka telah dicabut dan menggantikan sesuatu yang kekal untuk mengisi kawasan tersebut.
"Jika menggunakan gigi palsu, ia perlu dibuka dan dipasang semula, tetapi dengan implan, kawasan yang kosong itu akan ditanam terus ke dalam gusi,” kongsi beliau.
Ubat bius
Proses pemasangan implan bermula apabila kawasan gigi yang telah dicabut sudah cantik, tulang telah pulih dan gusi kembali sihat. Doktor akan memanggil semula pesakit selepas beberapa bulan untuk menjalani pembedahan kecil di kawasan itu bagi memasukkan implan ke dalamnya.
Ketika itu, doktor akan memotong gusi untuk mendedahkan tulang rahang di bawahnya. Lubang akan digerudi dalam tulang yang mana batang implan akan dimasukkan.
"Pesakit akan diberikan suntikan terlebih dahulu. Dengan kata lain, keseluruhan proses ini dilakukan dengan ubat bius dan biasanya mereka tidak akan merasa sakit.
"Secara asasnya, implan ini akan ditanam dalam tulang yang akan meniru fungsi asal seperti gigi sebenar,” jelas Dr Natashya.
Seterusnya, setelah implan ditanam dalam tulang, kawasan gusi akan dijahit semula untuk memberi masa proses pemulihan berlaku. Keadaan itu membolehkan implan tersebut bersatu dengan tulang yang ada.
Selepas empat hingga enam bulan, pesakit akan dipanggil semula bagi menilai sama ada implan tersebut berjaya atau tidak.
"Ini bagi memastikan sama ada badan menerima atau menolak implan yang di tanam kerana ia merupakan sesuatu yang asing dalam tubuh kita.
"Jika berjaya, proses selanjutnya boleh dilakukan iaitu meletakkan mahkota di atas implan. Terlebih dahulu mahkota tersebut akan disimen pada implan untuk melengkapkan rawatan,” ujarnya.
Jangka hayat rawatan implan oral boleh dipengaruhi oleh banyak faktor:-
- Tahap rawatan
- Tahap penjagaan dan pembersihan harian oleh pesakit
- Penyelenggaraan oleh pakar pergigian secara berkala
- Tabiat merokok dan kadar tekanan berlebihan (seperti mengunyah tulang, kerang, kacang dan gula-gula)
- Boleh menyumbang kepada ketahanan implan oral.
Pun begitu, tidak semua orang sesuai dengan rawatan tersebut dan ia boleh menjadi mahal jika memerlukan banyak gigi untuk digantikan.
"Dalam sesetengah kes, komplikasi mungkin boleh berlaku yang menjadikan prosedur itu tidak sesuai dengan anda.
"Jika memerlukan banyak gigi diganti, anda boleh mempertimbangkan implan penuh. Prosedur ini juga dikenali sebagai all on four atau all on six bergantung sama ada anda mempunyai empat atau enam implan setiap lengkung rahang,” kata beliau lagi.
Tambahnya, oleh kerana implan cukup kuat untuk menyokong beberapa gigi, enam implan sudah memadai untuk menggantikan 10 hingga 12 gigi yang hilang berturut-turut pada lengkung atas atau bawah mulut.
Selain itu, terdapat juga rawatan lain yang boleh menjadi alternatif kepada implan iaitu pemakaian gigi palsu.
Dikenali sebagai gigi tiruan, ia dipasang di atas gusi dan boleh ditanggalkan.
Tidak seperti implan penuh yang disimen pada rahang, gigi palsu boleh dipasang dan dicabut semula, dan biasanya memerlukan pelekat untuk kekal di tempatnya.
Ia boleh berupa penuh atau separa dan jauh lebih murah tetapi mungkin tidak bertahan selama implan.
Selain itu, doktor turut menawarkan rawatan jambatan gigi yang boleh menjadi alternatif kepada implan.
"Jambatan gigi ialah gigi palsu yang dipegang oleh gigi di kedua-dua sisi ruang yang kosong. Biasanya, gigi sihat ini perlu dikikis supaya mahkota gigi boleh diletakkan di atasnya.
"Pun demikian, ia tidak memerlukan penggerudian ke dalam tulang rahang, menjadikannya prosedur yang kurang invasif berbanding implan, selain jauh lebih murah,” ujarnya.
Kesimpulannya, rawatan implan bukan sekadar menggantikan gigi yang tiada, bahkan turut mengembalikan keyakinan untuk senyum lebih lebar.