SIAPA tidak kenal wanita muda ini. Farhatul Fairuzah muncul sebagai qariah termuda menjuarai Tilawah al-Quran Antarabangsa 2019 pada usia 19 tahun sentiasa menjadi inspirasi.
Di sebalik kelunakan suaranya bertaranum ayat-ayat suci al-Quran, penulis tumpang gembira melihat anak kelahiran Selangor itu kini telah menerima tauliah mengajar sekali gus menjadikan beliau pendakwah dan penceramah pada usia 24 tahun!
Rezekinya, ketika meniti usia seawal 20-an sudah mempunyai 'lesen' untuk mewakili suara anak muda dan berusaha menarik minat golongan ini mencintai al-Quran.
Berkongsi berita gembira itu di media sosial, pemilik nama Nor Farhatul Fairuzah Panut atau mesra disapa Farha itu menzahirkan rasa syukur kerana memenuhi kehendak Jawatankuasa untuk mengajar di Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam bidang al-Quran bagi kategori Kanak-Kanak dan Dewasa.
"Alhamdulillah baru sempat menghadiri Muzakarah Tauliah Mengajar, setelah beberapa kali tertunda disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Terima kasih para penceramah-penceramah yang hebat. Dan juga Timbalan-Timbalan Pengarah Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
"Dengan adanya majlis dan tauliah sebegini, ajaran agama Islam tu dapat dipantau dan diiktiraf.
"Semoga usaha ini sentiasa diberkati dan dapat melahirkan lebih ramai pendakwah-pendakwah untuk meluaskan dan menyebarkan lagi ilmu agama Islam. Sama-sama kita belajar dan menyampaikan walaupun satu ayat," katanya.
Artikel berkaitan:
- Tesis Farhatul Fairuzah jadi inspirasi dan bakal dibukukan. 'Doakan saya istiqamah & rezeki sambung Master'
- Media sosial medan dakwah Farhatul Fairuzah
- Sofizah ungguli pertandingan tilawah antarabangsa, 15 fakta mengenainya
- 10 tahun menyepi, Shamsul Ghau Ghau dalami al-Quran, terima tauliah mengajar. Reda jual 2 rumah, simpanan RM300,000 habis
Aktif menggunakan media sosial sebagai platform dakwahnya, Farha yang juga pelajar jurusan Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), terdahulu menjuarai Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan untuk empat tahun berturut-turut (2014 hingga 2017).
Farha juga pernah dinobatkan sebagai juara pada Tilawah Sekolah Rendah Pulau Pinang pada tahun 2011 dan terpilih sebagai Tokoh Kokurikulum Sekolah Peringkat Negeri dan Kebangsaan.
Mula belajar al-Quran dan taranum pada usia lima tahun dan menyertai pertandingan tilawah pada usia tujuh, Farha mendapat didikan awal daripada bapanya, Allahyarham Panut Markum pernah menjadi Qari sekitar tahun 1990-an manakala ibu, Jaliah Simin pernah bergelar Qariah pada 2004. Tidak hanya Farha, kelima-lima adik beradiknya celik al-Quran dan aktif menyertai pertandingan tilawah.
Gadis yang bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang al-Quran itu telah menerima darjah kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS) pada tahun 2022 dan muncul antara penerima termuda sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-77 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tahniah Farha daripada SinarPlus! Moga selepas ini kerja dakwah Farha tentang al-Quran lebih meluas dan dipermudah, insya-ALLAH.
Sumber: Instagram