‘Kalau tak ada ALLAH, saya yang pergi dulu...’Jaga suami terlantar ketika diri sendiri sakit, Azlina bangkit cari rezeki

Iklan

TAKDIR hidup tidak selalu hadir dalam bentuk yang indah pada pandangan mata. Namun bagi sesetengah insan, ujian itulah yang membentuk kekuatan luar biasa.

Kisah inspirasi kali ini memaparkan perjalanan sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) yang diuji melangkaui kemampuan biasa, namun memilih untuk terus bertahan dengan iman dan sabar.

Iklan
Iklan

Bagi Norazlina Zakaria atau mesra disapa Azlina, setiap ujian diterima dengan satu keyakinan, ALLAH SWT tidak pernah meninggalkan hamba-NYA yang terus berusaha.

Inilah kisah seorang isteri yang tetap berdiri walaupun tubuhnya sendiri sakit dan cinta yang lahir bukan dalam kemewahan, tetapi dalam kesusahan yang mendidik erti sabar dan reda.

Iklan

Sembilan tahun melalui kehidupan yang berat, Azlina setia menjaga suami tercinta, Mohd Nazri Mohd Zin, yang terlantar akibat kecederaan saraf tunjang (tetraplegia).

Iklan

Dalam masa yang sama, dia turut menanggung kesakitan pada tubuh sendiri, khususnya tulang belakang yang semakin merosot akibat terlalu kerap mengangkat dan menguruskan suami. Namun semangat wanita berusia 42 tahun ini tidak pernah padam.

Kisah pasangan ini cukup unik dan menyentuh hati. Mereka bertemu ketika masing-masing merupakan pesakit kecederaan saraf tunjang dan memegang kad OKU.

Saat ramai mungkin memilih menjauh, cinta mereka pula berputik ketika kesihatan diuji. Lebih manis, mereka disatukan sebagai suami isteri bukan atas dasar simpati, tetapi atas kesefahaman, kesabaran dan kebergantungan penuh kepada Yang Maha Esa.

Kecekalan Azlina menjaga Mohd Nazri dari hari ke hari mula meraih perhatian ramai apabila siaran langsung TikTok mereka tular.

Dalam rakaman itu, kedua-duanya tampil memakai tiub pemakanan di hidung, tanpa drama dan tanpa meminta simpati. Hanya sepasang suami isteri yang berusaha mencari rezeki dengan kudrat yang ada.

Biarpun dirinya juga cedera, Azlina tetap mengangkat suami dari katil ke kerusi roda, satu perbuatan yang kelihatan biasa, namun hakikatnya menuntut kekuatan fizikal dan emosi luar biasa.

“Kalau orang tanya, ya. Kami kutip kotak, kutip tin, orang kata kutip sampah. Tapi Alhamdulillah, rezeki ALLAH itu ada,” kongsinya.

Keluar masuk hospital

Hampir empat tahun mereka mencari rezeki dengan cara itu demi menanggung kehidupan, termasuk menjaga ibu dan ahli keluarga lain.

Namun kesihatan Azlina semakin menurun akibat terlalu kerap keluar masuk hospital menjaga suami dan mengangkat beban berat.

“Aku doa pada ALLAH, Ya ALLAH, bagilah aku kerja yang lebih mudah supaya aku boleh bantu suami aku,” luahnya.

Doa itu dimakbulkan apabila mereka mula bersiaran langsung di TikTok sebagai ikhtiar yang lebih ringan untuk tubuhnya. Bagi Azlina, bila usaha dibuat sehabis daya, ALLAH yang menentukan bagaimana rezeki itu sampai.

Selepas 7 tahun berupaya berjalan semula, Azlina dan suami turut menubuhkan Support Group Rehab Sungai Buloh dan Rumah Harapan Norafiah bagi membantu pesakit kecederaan saraf tunjang yang terlantar, tanpa menggajikan sesiapa dan tanpa menerima gaji.

Di sebalik ketabahan, emosi Azlina sering diuji, apatah lagi ketika suaminya pernah berada dalam keadaan kritikal.

“Kalau ikutkan rasa sakit, memang nak jerit satu dunia,” akuinya.

Namun satu prinsip dipegang erat.

“Saya kena ingat, saya adalah isteri. Kena kawal emosi sebab saya nak cari reda suami untuk dapat reda ALLAH," ungkapnya tulus.

Saat rasa keseorangan menyelubungi diri, Azlina memilih untuk bercakap dengan ALLAH.

Baginya, itulah kekuatan sebenar.

“Kalau fikirkan kita tak ada ALLAH, rasanya saya yang pergi dulu. Bukan mudah tapi insya-ALLAH, bila kita yakin, DIA akan permudahkan," kongsi wanita tabah itu lagi.