TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Peribahasa itu tepat buat Muhammad Darwisy Mustafani. Siapa sangka hasil tangan anak muda ini yang dibuat secara suka-suka bakal dibawa masuk ke Istana Negara.
Bangga penulis melihat karya kreatifnya, bukan calang-calang hasil. Bukan mudah ya untuk menghasilkan potret menggunakan songket sebagai kanvas asas.
Difahamkan potret yang dihasilkan di atas sehelai kain songket itu ditempah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dipersembahkan di Istana Negara sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian (DKPP) Tahun 2024 Rabu ini.
"Sebenarnya, PDRM hubungi saya di TikTok, sebab sebelum ini ada lukisan yang saya lukis atas songket viral juga.
"Mulanya saya tidak tahu perlu buat lukisan untuk Istana Negara sebab PDRM cuma kata ‘VVVVVVIP’. Saya sudah jangka mungkin perlu buat lukisan untuk orang penting.
"Tetapi tidak tahu pula perlu buat lukisan untuk dijadikan hadiah kepada Agong dan Raja Permaisuri. Bukit Aman hubungi, baru saya tahu," katanya.
Anak muda berusia 23 tahun itu mendedahkan mengambil masa lebih kurang tiga minggu menyudahkannya.
Walaupun tidak berpeluang menyertai istiadat rasmi tersebut, Muhammad Darwisy tetap gembira dan berbangga dengan pencapaiannya.
"Saya tidak dapat pergi sebab istiadat rasmi yang tertutup untuk PDRM tetapi saya tetap gembira apabila nampak lukisan saya berada di depan Tuanku dalam istana.
"Sebelum ini saya banyak hasilkan karya yang orang lain tidak pernah buat seperti lukis atas kulit kelapa, durian, tembikai, pelitup muka dan banyak lagi tetapi kali ini karya di atas songket yang mendapat perhatian.
"Saya pasang impian suatu hari nanti ada lukisan saya yang dapat diletakkan dalam Balai Seni Negara," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian