PERKAHWINAN kali kedua penyanyi Ina Naim dengan lelaki pilihannya, Mohd Khairul Rizal Shukor menjadi perhatian para peminat.
Hampir setahun bergelar balu, pemilik nama Nordiana Mohd Naim, 40, mengakui bukan mudah untuk membuka pintu hati untuk menerima insan baharu di sisi.
Sikap penyabar, penyayang dan karakter lelaki yang bertugas sebagai jurutera itu yang disenangi anak-anak menawan hatinya.
"Persamaannya sangat banyak dengan arwah suami, itu yang membuatkan saya tertarik. Khairul juga sangat penyabar dan penyayang orangnya.
"Saya lihat dia hantar mesej kepada anak-anak dan mereka juga baik. Mudah menerima apa yang diajar Khairul.
"Itulah yang dikatakan qada dan qadar, rukun iman yang keenam. Kita tidak boleh tentukan nasib kehidupan kita. Sekarang ini saya sudah menjadi isteri kepada Khairul. Itu adalah takdir ALLAH, Alhamdulillah," katanya kepada mStar.
Pelantun lagu Duhai Hati itu turut melahirkan rasa syukur kerana kembali bergelar isteri dan terlepas daripada fitnah.
Katanya, gelaran ibu tunggal terlalu berat dan keputusan untuk kembali berumah tangga juga bukan mudah.
"Saya rasa bersyukur kerana terlepas daripada sebarang fitnah. Biasalah bila hidup sebagai ibu tunggal banyak fitnah di luar. Alhamdulillah ALLAH selamatkan saya daripada fitnah-fitnah itu.
"Agak lama juga saya buat keputusan untuk bernikah lagi. Tapi bila dia (Khairul) datang bawa resume, saya terima keikhlasan yang ada pada dia, keduanya saya rasa dia boleh bantu saya untuk meneruskan perjuangan sebagai bapa untuk mengajar anak-anak," ujarnya.
Khairul pula memberitahu, hatinya terbuka menerima Ina sebagai isteri kerana mahu membela nasib ibu tunggal dan anak-anak yatim.
Malah dengan pengalamannya sebagai pendidik, Khairul yakin dapat membimbing anak-anak tirinya. Beliau malah sudah menyiapkan perancangan pendidikan untuk mereka.
"Apa yang saya nampak, ini (pernikahan) peluang untuk amal jariah. Bila saya tengok ada empat orang anak yatim dan seorang ibu tunggal untuk dibela nasibnya, saya rasa kena ambil peluang ini.
"Alhamdulillah ALLAH kurniakan saya pengalaman sebagai seorang pendidik. Sebelum ini saya bekerja dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Saya cadangkan kepada Ina perancangan untuk anak-anak agar mereka dapat meneruskan pembelajaran dan membesar menjadi individu lebih baik," katanya.
'SELAMAT PENGANTIN BAHARU IBU DAN DADDY' -EHMAD HADIE
Anak sulung Ina, Ehmad Hadie Elfardie yang dilihat menitiskan air mata saat ijab kabul merestui perkahwinan ibunya.
Jelas Hadie, Mohd Khairul Rizal yang dipanggilnya Daddy diharapkan mampu menjaga ibu dan adik-adiknya.
"Alhamdulillah saya bersyukur, sekurang-kurangnya ada orang yang sanggup menerima dan menjaga. Saya syukur serta gembira, Alhamdulillah.
Ehmad Hadie menerima bapa baharu dengan hati yang terbuka dan mendahulukan adik-adiknya dalam hal itu.
"Saya fikirkan adik-adik dan ibu. Dia (Khairul Rizal) melayani ibu dan adik dengan baik,Alhamdulillah.
"Saya rasa dia boleh diharap untuk menjaga adik-adik, insyaALLAH," katanya.
Dalam pada itu, Ehmad Hadie sempat mengucapkan selamat pengantin baharu buat ibu dan ayah barunya.
"Selamat pengantin baru ibu dan daddy. Semoga dipermudahkan urusan dan diberkati ALLAH SWT," katanya.
Dalam majlis yang berlangsung di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM100, wang hantaran RM7,000, kelengkapan solat, seutas gelang emas, sebentuk cincin dan lima dulang hantaran.
Terdahulu, Ina yang kini aktif berniaga mi siput dan produk kecantikan kemudian menjelaskan bakal bernikah dengan bapa tunggal kepada dua orang anak dikenali sebagai Mohd K.
Sekadar info, Ina berkahwin dengan Suhaimi yang juga bekas anggota kumpulan nasyid Inteam pada 12 Ogos 2007.
Beliau menggalas status ibu tunggal selepas Suhaimi meninggal dunia pada 15 November 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Sumber: mStar, TikTok mStar