MEMILIKI cahaya mata adalah anugerah terindah yang diberikan ALLAH SWT kepada setiap pasangan suami isteri.
Namun, ia bukanlah satu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi bila anak semakin membesar dan mula menunjukkan pelbagai ragam.
Ada yang suka melawan atau nakal sehingga betul-betul menguji kesabaran ibu bapa. Sabar pun ada hadnya juga, kan?
Itulah yang dialami oleh seorang ibu tunggal di Indonesia, Nunlawati Beu, yang akhirnya mengambil langkah berani menghantar anak lelakinya ke balai polis.
Keputusan itu dibuat selepas beberapa kali anaknya, Satrio Tomayahu, melawan kata dan tidak menghormati orang tua.
Menurut Nunlawati, tindakan tersebut adalah usaha terakhirnya untuk mendidik anak bujangnya yang berusia 19 tahun itu.
Bukan tidak menyayangi anak, sebaliknya, tindakan wanita 42 tahun itu adalah untuk memberi pengajaran dan bukanlah untuk menghukum.
Menerusi video tular, Santrio menangis teresak-esak merayu kepada ibunya supaya tidak diserahkan kepada polis.
"Ya ALLAH, minta maaf mama...,”rayu Satrio.
Bagaimanapun, Nunlawati tidak mengendahkan tangisan itu dan meninggalkan anak kesayangannya di balai walaupun berat hati melihat nasib anaknya.
Selama 24 jam di balai, pihak polis memberikan nasihat dan bimbingan kepada Satrio. Beliau juga diminta menulis surat aku janji untuk lebih menghormati ibu bapa dan tidak mengulangi kesilapannya.
Apabila tiba masa untuk menjemput anaknya, Nunlawati melihat perubahan positif pada Satrio.
Anak lelakinya itu nampak ceria dan tenang, bahkan lebih bertanggungjawab ketika bekerja di kedai air minuman di perumahan mereka.