TAKZIAH buat keluarga mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi pada usia 86 tahun.
Berita duka itu disahkan peguamnya, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.
Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Assunta. di Kuala Lumpur.
"Ya. Benar dia meninggal dunia. Dia mengalami strok baru-baru ini dan diletakkan di unit rawatan rapi (ICU). Belum ada maklumat lanjut," katanya lagi.
Memetik Berita Harian, solat jenazah dijangka selepas solat Asar di Masjid Wilayah, Jalan Duta.
Daim atau nma penuhnya Che Abdul Daim bin Zainuddin dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah dan mendapat pendidikan awal di Seberang Perak Malay School, Alor Setar dan pendidikan menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah dan St Xavier Institution, Pulau Pinang hingga lulus Peperiksaan Sekolah Cambridge (Cambridge School Examination) pada tahun 1957.
Kerjaya Daim bermula sebagai guru sandaran di Kolej Sultan Abdul Hamid hingga 1957. Beliau kemudian lulus dalam Peperiksaan Peguam (Bar Examination) pada tahun 1959 selepas memasuki Lincoln's Inn hanya 18 bulan.
Dengan ijazah undang-undang, beliau kemudiannya menyambung pelajaran dalam bidang Perancangan Bandar di Universiti California, Berkeley pada tahun 1977 dan memiliki ijazah pada tahun 1979.
Tokoh kewangan itu juga memiliki visiting scholar, Institut Pembangunan Antarabangsa Harvard (Universiti Harvard) dan Universiti Cambridge UK serta doktor falsafah dari Universiti Malaya pada tahun 2019.
Daim memulakan kerjaya dalam bidang undang-undang di Kota Bahru, Kelantan dan kemudian menyertai perkhidmatan undang-undang dalam kerajaan.
Beliau yang pernah menjawat jawatan majistret di Johor dan Timbalan Pendakwa Raya di Perak kemudian membuka firma guamannya bersama Allen and Gledhill pada 1966. Tidak lama selepas itu, beliau membuka firma guamannya sendiri, Daim, Gamani & Co.
Kerjaya politik beliau bermula apabila dilantik sebagai senator pada 1980 hingga 1982. Beliau kemudian pada 1982, beliau bertanding di kerusi Kuala Muda dan memenangi kerusi tersebut.
Mantan menteri terkenal dengan jasanya mengeluarkan Malaysia daripada kegawatan ekonomi pada 1980-an dan sekali lagi pada 1990-an.
Beliau memegang portfolio Menteri Kewangan sebanyak dua kali iaitu pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyaksikan beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Daim kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.
Al-Fatihah.
Sumber: Berita Harian