SEKARANG ini banyak betul kes jenayah melibatkan anak-anak penagih dadah. Ada yang sampai sanggup bunuh ibu sendiri dengan alasan nak"hantar ibu ke syurga". Seram, kan? Hakikatnya, kes macam ini memang betul berlaku.
Walaupun anak sudah terjebak dengan dadah, seorang ibu tidak akan berhenti menyayangi dan berusaha untuk membantu supaya zuriatnya itu kembali pulih.
Itulah situasi yang dilalui seorang ibu yang terpaksa memasang jeriji besi seperti sel penjara di dalam rumah agar anak lelakinya tidak lagi mendekati dadah.
Bayangkan, lebih 20 tahun wanita berusia 64 tahun dari Buriram, Thailand itu hidup dalam ketakutan.
Tindakan memasang tirai besi tersebut bukan semata-mata untuk mengurung anaknya. Bahkan, si ibu mahu menghalang lelaki yang berusia 42 tahun itu daripada jadi lebih ganas dan tidak terkawal.
Walaupun dah keluar masuk pusat pemulihan, namun dirinyab masih tidak berubah. Malah menjadi lebih agresif. Lebih-lebih lagi anaknya juga seorang kaki judi.
Lebih menyayat hati, wanita yang dikenali sebagai puan A berkongsi bahawa arwah suaminya meninggal dunia akibat kemurungan dan tekanan kerana masalah anak bujang mereka.
"Saya tinggal berdua dengan anak saya sejak suami meninggal dunia. Satu daripada punca kematian suami saya ialah kemurungan dan tekanan akibat masalah ketagihan dadah anak saya.
Walaupun tindakan puan A nampak macam kejam dan tidak berperikemanusiaan, tapi sebenarnya beliau hanya mahu mengubah nasib anaknya.
Nampak sahaja macam penjara, tetapi dalam bilik tersebut turut dilengkapi dengan katil, bilik mandi, dan wifi.
"Ruangan kecil direka untuk menghantar makanan dan minuman kepada anak saya. Malah saya memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau tingkah lakunya 24 jam sehari.
Bagaimanapun, usaha murni si ibu mendapat komen negatif pihak berkuasa dan dianggap salah di sisi undang-undang kerana melanggar hak asasi manusia dan menahan anaknya secara haram.
"Saya memasang palang besi di rumah saya kerana bimbang keselamatan diri dan jiran-jiran. Saya percaya langkah ini akan melindungi kami semua daripada tingkah laku agresifnya," kata wanita itu.
Bagi penulis, seorang wanita yang bergelar ibu hanya mahu yang terbaik untuk anaknya dengan cara tersendiri. Apa pun, semoga puan A dipermudahkan segala urusan dalam merawat anaknya.