SEBAKNYA mendengar kisah pengorbanan isteri pelawak Achey, Anne.
Isteri diuji di saat suami sudah tidak punya apa-apa lagi, namun pemilik nama Nor Hasanah Yahaya tabah melaluinya.
Menerusi Dol's Podcast mendedahkan Anne pernah bekerja sebagai seorang tukang cuci di sebuah syarikat bank terkemuka selama tiga bulan sewaktu dirinya menyertai program realiti Bintang Mencari Bintang pada tahun 2013.
Dalam audio siar dikendalikan Shuib, Shuk Sahar dan Mamat Sepah itu, Achey memaklumkan isterinya tidak menggunakan sesen pun daripada gaji dan berkorban menyerahkan kesemua untuk kegunaannya.
"Apa yang dia (isteri aku) dapat sekarang adalah hasil titik peluh dia dengan aku selama ini.
"Dia pernah kerja sebagai ‘cleaner’ selama tiga bulan selama aku masuk pertandingan ‘Bintang Mencari Bintang’, semua duit gaji itu dia bagi aku.
"Dia kerja ‘cleaner’ untuk suami dia (Achey) yang tak tahulah menang atau tidak pertandingan pada waktu itu.
"Sebab itu bila ada orang usik isteri aku walaupun sikit, aku tak boleh. Aku paling pantang dengan perkara itu," katanya dalam sebak.
Kata Achey lagi, susulan pengorbanan isteri kesayangan itulah membuatkan beliau tidak kisah jika ada pihak yang melabel dirinya ‘menunggang’ nama Anne.
"Dan kalau orang nak cakap aku sekarang ini ‘menunggang’ isteri, aku akan cakap, ‘Ya aku menunggang’ sebab aku saja yang ada keistimewaan itu.
"Kalau aku tak buat macam ni, siapa nak ingat dia? Dan sebab apa aku ‘menunggang’ isteri aku sebab nama dia perlu diuar-uarkan supaya orang tahu dia.
"Bila orang ramai tahu, lagi ramai orang akan mendoakan dia," kongsinya.
Pengorbanan Anne buat Achey menyentuh hati ramai. Kebanyakan warga maya meluahkan rasa kagum dan mendoakan agar pasangan itu dikurniakan kebahagian berpanjangan.
Sekadar info, Achey mendirikan rumah tangga dengan Nor Hasanah Yahaya pada 2011. Pasangan itu mengambil seorang anak angkat, Tiara Zinnirah pada Mei 2018 yang kini berusia empat tahun.
Sumber: TikTok