MOMEN yang rare!Wanita tertinggi dan terpendek di dunia akhirnya bertemu dalam majlis minum petang sempena ulang tahun ke-20 Hari Rekod Dunia Guinness (GWR).
Rumeysa Gelgi yang juga pembangun web dari Turkiye memegang rekod sebagai wanita tertinggi di dunia pada ketinggian 215.16 sentimeter (cm) manakala Jyoti Amge yang hanya setinggi 62.8cm sempat bertukar cerita tentang pengalaman hidup semasa pertemuan mereka di hotel The Savoy, London.
Rumeysa yang berusia 27 tahun itu berasa amat bertuah apabila dapat berjumpa pelakon india terkecil di dunia buat kali pertama.
Perjumpaan dua insan luar biasa itu bagaimanapun terdapat cabaran tersendiri apabila Rumeysa memaklumkan adalah sedikit sukar untuk mereka bertentang mata disebabkan perbezaan ketinggian Jyoti yang berusia 30 tahun.
"Ia sangat menakjubkan bertemu Jyoti, buat kali pertama. Sukar untuk kami bertentang mata disebabkan perbezaan ketinggian kami, tetapi ia perasaan yang hebat,"jelasnya.
Bagaimanapun, Jyoti tidak berasa kekok ketika berjumpa Rumeysa kerana sudah terbiasa mendongak dan melihat orang yang lebih tinggi daripadanya.
"Saya gembira kerana bertemu dengan Rumeysa, dia sangat baik dan saya sangat selesa bercakap dengannya," katanya.
Walaupun berbeza saiz, mereka ada satu persamaan iaitu suka berhias. Memang comel tengok mereka gembira berborak, bergambar dan saling meraikan keunikan masing-masing.
"Apapun kami memang mempunyai persamaan. Kami berdua suka bersolek, menjaga diri dan menatarias kuku," kata Rumeysa.
Rumeysa menghidap penyakit jarang jumpa dipanggil Sindrom Weaver yang menyebabkan pertumbuhannya dipercepatkan dan kecacatan rangka.
Untuk rekod Rumeysa adalah satu daripada 27 kes sama yang pernah didiagnosis, dan dia adalah kes pertama seumpamanya di Turkiye.
Beliau menggunakan kerusi roda dan hanya boleh berdiri menggunakan alat bantu pejalan kaki untuk jangka masa yang singkat.
Jyoti pula yang memainkan watak Ma Petite dalam siri televisyen di Amerika Syarikat (AS) iaitu American Horror Story, mempunyai tubuh kerdil yang dikenali sebagai achondroplasia.
Kedua-dua mereka turut diberi penghormatan sebagai ikon GWR dalam edisi ulang tahun ke-70 buku rekod dunia itu.