CONTOH terbaik! Aktor Fizo Omar saksi perjuangan isterinya bergelut menghabiskan pengajian dan dalam masa yang sama melaui dua kehamilan, bekerja dan menguruskan keluarga.
Memang suami mithali. Bertuah isterinya Fazeera Nazri memilihnya menjadi teman hidup. Bapa kepada tiga cahaya mata itu terharu dan bangga atas kejayaan suri hati kesayangannya merangkul Ijazah Sarjana Muda Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESL) kelas pertamapada konvokesyen UNITAR International University baru-baru ini.
"Saya saksi terhadap perjuangan isteri saya untuk menamatkan Ijazah Sarjana Muda dalam Pendidikan. Dia melanjutkan pengajian sebelum kahwin lagi iaitu tahun 2021.
"Selepas kami kahwin sahaja terus dapat rezeki anak. Sambil berpantang (dia belajar), menjaga anak kecil lagi, hamil kali kedua dan bekerja pula.
"Dengan assignment, kelasnya lagi. Peperiksaan tidak habis-habis, tapi dia berjaya dan sudah membuktikan. Berjaya dapat kelas pertama. Tahniah sayang, kami sangat bangga dengan awak,” katanya.
Rezeki mencurah-curah buat pasangan ini. Fizo mendedahkan perjuangan Fazeera tidak terhenti setakat itu sahaja kerana buah hatinya itu bakal melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana pula selepas menerima tawaran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sementara itu, tuan punya badan, Fazeera turut memuat naik beberapa foto pada hari konvokesyennya disamping meluahkan rasa syukur kerana berjaya menggenggam segulung ijazah yang dicita-citakan.
"Terima kasih kepada suami saya dan ibu mertua saya atas sokongan penuh kalian yang mendorong saya untuk mencapai kejayaan ini.
"Terima kasih juga untuk ibu bapa saya yang menyokong saya dari jauh. Doa dan nasihat mereka sentiasa membuatkan saya untuk terus berjalan ke hadapan,” katanya.
Baru-baru ini, Fazeera yang kini bertugas sebagai pensyarah di University College of Aviation Malaysia itu berkongsi perjalanan memburu ijazah sarjana muda pada tahun 2020 ketika berusia 25 tahun.
Bekas pramugari itu menerima surat pemberhentian kontrak kerana situasi Covid-19 memilih untuk menyambung pengajian sebelum bertemu jodoh dengan Fizo dan terus memulakan keluarga. Namun ia tidak melunturkan semangat untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang
Sekadar info, Fizo, 38, dan Fazeera diijabkabulkan pada Oktober 2021. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Wan Khaleeda, 3, dan Wan, Umaira, 1.
Fizo memilliki seorang anak perempuan, Wan Maryam, 6, daripada perkahwinan pertama.