TAKZIAH buat keluarga Tan Sri Ananda Krishnan atas pemergian bilionair itu pada usia 86 tahun.
Usaha Tegas Sdn Bhd, firma pegangan pelaburan yang diketuai oleh Ananda, mengesahkan pemergiannya hari ini.
"Dengan rasa sedih kami mengumumkan pemergian Pengerusi kami, T Ananda Krishnan, yang meninggal dunia secara tenang pada 28 November 2024.
"Mendiang telah membuat sumbangan besar kepada pembinaan negara dan dunia korporat dan inisiatif dermawannya telah menyentuh banyak kehidupan.
"Kami dengan rendah hati meminta agar hasrat keluarga untuk berkabung secara tertutup dihormati," kata Usaha Tegas dalam satu kenyataan.
Berikut 10 info berkaitan tokoh ini:
1-Ananda atau nama penuhnya Tatparanandam Ananda Krishnan yang sering dirujuk sebagai 'AK' adalah antara individu terkaya di Malaysia, dengan nilai bersih dianggarkan lebih AS$5 bilion.
2-Mendiang membina empayar yang pelbagai merangkumi telekomunikasi, media dan tenaga melalui syarikatnya, Usaha Tegas.
3-Perjalanannya dalam perniagaan bermula dengan usaha dalam perdagangan minyak, yang akhirnya berkembang menjadi pelaburan dalam teknologi dan media.
4-Antara pegangan kepentingannya termasuk dalam syarikat telekomunikasi Maxis, Astro Malaysia Holdings Bhd dan Bumi Armada Bhd.Mendiang juga melancarkan MEASAT, perintis industri satelit Malaysia.
5-Forbes menyenaraikan Ananda sebagai individu keenam terkaya di Malaysia dengan nilai bersih AS$5.1 bilion.
6-Tokoh yang dilahirkan pada 1938 di Brickfields, Kuala Lumpur itu terkenal dengan sikap rendah dirinya.
7-Ananda yang merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari University of Melbourne.
8-Beliau juga pemegang Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Harvard Business School.
9-Mendiang komited dalam membantu kebajikan kemasyarakatan dengan melalui Yayasan Ananda Krishnan, mendiang memberi sumbangan besar kepada pendidikan, seni, sukan dan inisiatif kemanusiaan.
10-Beliau terkenal dengan sifat dermawan dengan memberikan biasiswa dan sokongan kepada individu yang memerlukan dan berdedikasi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.