SETAKAT ini seramai 64,937 mangsa banjir telah direkodkan di Kelantan. Walaupun situasi semakin memburuk, ia tidak menghalang pempengaruh terkenal Khairul Aming untuk turun padang menyampaikan bantuan kepada penduduk terjejas.
Menerusi hantaran terbaharu, beliau memaklumkan bahawa baharu sahaja tiba di Kelantan dari Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat dan segera memberikan bantuan bermula hari ini.
Khairul atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman menjelaskan bantuan makanan akan diagihkan terlebih dahulu selain penghantaran barangan keperluan asas lain dijangka akan diedarkan pada keesokan hari dengan menggunakan lori.
"Saya baru mendarat di Kelantan. Kita akan mulakan misi bantuan banjir hari ini. Petang ini nak kene hantar makanan dulu, esok kita akan cuba hantar barang keperluan asas lain guna lori,"ujarnya.
Lebih mesra dipanggil KA itu turut berkongsi video sedang memasak dan menyiapkan 1,200 pek makanan untuk diedarkan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurut Usahawan Sambal Nyett itu, lokasi pertama yang akan menerima bantuan pek makanan berkenaan adalah di sekitar Pasir Mas.
"Petang ini kita selesaikan makanan di Pasir Mas dahulu. Staf saya akan beli dan siapkan barang-barang keperluan asas dan esok kita akan hantar dengan lori ke PPS,"tambahnya.
Bagaimanapun, KA turut memohon bantuan orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubunginya untuk urusan pengumpulan.
"Ada ribuan mangsa yang tak cukup keperluan sekarang ini. Kalau sesiapa sekitar Kota Bahru yang ada roti, air mineral atau sebarang keperluan asas yang boleh sedekah cepat, mohon datang.
Dalam siaran langsung baru-baru ini, beliau bersama pasukannya dilihat sedang sibuk mengumpulkan barang bantuan sambil menerima sumbangan daripada penduduk setempat yang tidak putus-putus.
Usaha murni anak kelahiran negeri tersebut telah menarik perhatian ramai. Rata-rata memuji tindakan pantasnya. Inisiatif itu bukan sahaja dapat meringankan beban mereka yang terjejas, tetapi juga menjadi inspirasi kepada orang ramai untuk bersama-sama membantu mangsa banjir yang memerlukan.
SinarPlus mendoakan agar urusan Khairul Aming dipermudah agar lebih ramai tampil membantu.