PELAKON Nora Danish terus menyuntik inspirasi kepada peminat selepas berhijab.
Tekun memperbaiki diri, Nora baru-baru ini mencuri perhatian warga maya selepas mempamerkan kebolehannya menghafal salah satu surah dalam al-Quran iaitu al-Mulk.
Menerusi video dalam TikTok, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu menyahut cabaran influencer, Qawiy yang memintanya menyambung bacaan surah yang terdiri daripada 30 ayat itu tersebut.
Menerusi video yang tular, pelakon sitkom Puteri itu tanpa teragak-agak membaca surah itu dengan lancar, sekali gus meraih pujian.
"Masya-ALLAH, banyak hafalan tu. Kalau tak berhenti, nak baca lagi tu boleh habis satu surah.
"Kami seronok lihat perubahan Nora,” ujar Qawiy.
"Tapi tajwid belum betul-betul elok lagi. Yang itu (perubahan) adalah atas doa-doa anda semua. Terima kasih.
"Apa yang saya belajar melalui penghijrahan ini ialah sentiasa dekatkan diri dengan Al-Quran kerana kalam Allah ini adalah pendamping kita nanti,” ujarnya.
Tidak sekadar menghafal surah, beliau juga berkongsi zikir yang menjadi amalannya.
"Ramai orang tanya, macam mana saya berhijrah, saya amalkan zikir Jami at Tirmidhi.
"Zikir itu mendekatkan diri kita dengan ALLAH, dicintai ALLAH dan didekatkan juga dengan orang yang mencintai ALLAH
"Saya berubah pun disebabkan ramai orang baik ada dekat dengan saya.
Video tersebut tular dan menerima 2.9 juta tontonan dan lebih 300,000 tanda suka.
Warganet rata-rata memuji usaha aktres tersebut mendalami ilmu agama selain kagum dengan perubahan positif dalam kehidupannya. Ujar mereka:
"Sukanya tengok Nora Danish sekarang."
"Masya-ALLAH, bagus bacaannya. Kena baiki sikit je lagi. Seronok tengok Nora berubah macam ini. Semoga istiqamah sampai akhirnya,” tulis seorang netizen.
"Tajwid dia not bad ya. I love you Nora Danish."
Sekadar info, Nora mula berhijab sejak berpisah dengan bekas suami, Nedim Nazri Sujak pada 16 Jun lalu.
Proses kembali kepada fitrah Nora menjadi inspirasi ramai. Para peminat mendoakan agar pelakon itu kekal istiqamah dalam berhijrah.