BELIAU antara wajah yang sehingga kini masih menghiasi bidang penyiaran di TV3.
Biarpun muncul bakat-bakat baharu bak cendawan tumbuh selepas hujan, namun Fiza Sabjahan masih tetap utuh dan berada di dalam liganya yang tersendiri.
Dengan pengalaman hampir dua dekad, anak kelahiran Klang, Selangor itu memulakan kerjaya dari bawah dengan zero pengetahuan dalam bidang kewartawanan sehinggalah kini berjaya menyandang jawatan penerbit eksekutif selain masih bergelar pengacara di TV3.
Kisah perjalanan kerjayanya bukan hanya tentang kegemilangan di kaca televisyen, tetapi juga tentang perjuangan dan kesabaran yang telah membentuknya menjadi individu yang lebih kuat dan matang.
SinarPlus baru-baru ini berkesempatan mengabadikan wajah manisnya sebagai penghias muka hadapan untuk sisipan Sinar Ahad.
Hasil bantuan Lieu Lui Meng dan Efendi Amir dari Unit Kandungan Publisiti, Rangkaian Televisyen Media Prima, janji temu kami berlangsung di Studio Sinar Karangkraf.
Usai kerlipan daripada lensa kamera milik jurugambar Asril Aswandi tamat, penulis tanpa membuang masa terus menemu bual pemilik nama sebenar, Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan itu.
Empunya diri mula mengimbau kembali kembali penglibatan beliau dalam bidang penyiaran yang bermula pada tahun 2007 sehingga sekarang.
Bermula dari bawah
Jujur wanita yang mesra dengan panggilan Fiza itu mengakui dirinya ketika itu tidak memiliki latar belakang penyiaran.
"Saya bermula daripada bawah tanpa sebarang pengetahuan dalam bidang ini. Daripada seorang wartawan, kemudian beralih menjadi penolong penerbit, penerbit, dan alhamdulillah kini bergelar penerbit eksekutif.
"Memang perjalanannya tidak mudah dan seperti kebanyakan orang, saya juga mengalami jatuh bangun, namun saya percaya dalam setiap cabaran yang dihadapi, terdapat hikmah yang menanti di penghujungnya,” ungkapnya.
Sepanjang meniti perjalanan itu, Fiza berpegang pada keyakinan bahawa kesabaran akan dibayar dengan sesuatu yang lebih indah
"Di sebalik kesabaran, ALLAH akan ganti dengan yang lebih baik, sebab itu tiada istilah putus asa setiap kali dugaan mendatang. Saya juga tidak nafikan pernah melalui fasa-fasa yang menyedihkan.
"Salah satunya ketika melalui proses penceraian pada tahun 2014. Orang lihat masih mampu tersenyum sedangkan waktu itu tengah berperang dengan perasaan sendiri namun di depan TV, kita tak boleh nak tunjukkan kesedihan.
"Selain itu, paling memeritkan bila mana diduga dengan pemergian arwah kakak yang sememangnya cukup rapat dengan saya,” kongsinya dengan nada sebak sambil sesekali menyapu air mata di pipi.
Berbicara lanjut mengenai pemergian arwah kakaknya itu, wanita berusia 42 tahun itu menganggap ia sebagai ujian peribadi yang sangat berat.
"Selain pembakar semangat, arwah juga seorang pengkritik setiap kali saya muncul di kaca TV. Bayangkan, walaupun sedang menjalani rawatan dialisis, dia sempat lagi menghantar mesej atau gambar saya tengah mengacara.
"Kehilangan kakak memang memberikan kesan yang mendalam, namun saya percaya, di sebalik kehilangan dan kesedihan, ALLAH akan gantikan dengan hal-hal yang indah-indah kelak.
"Cuma ralat itu tetap ada terutama ketika naik pentas mengambil anugerah, namun saya tahu, arwah pasti berbangga. Alhamdulillah, saya bersyukur masih punya ibu serta adik-beradik lain yang sentiasa berada di sisi memberi sokongan,” kata Fiza lagi.
Enggan membiarkan dirinya terus larut dalam kesedihan, lantas penulis beralih kepada persoalan mengenai kejayaannya meraih gelaran Pengacara TV terbaik menerusi Anugerah Sri Angkasa 2024.
Tuan punya badan mengakui, penantian 17 tahun berbaloi apabila memperoleh penghargaan sedemikian.
"Saya sedar kejayaan sesebuah program tidak hanya terletak pada individu yang muncul di layar kaca semata-mata. Sebaliknya, yang menjadikan sesuatu cerita itu cantik dan hebat adalah usaha bersama yang bekerja di belakang tabir. Semua orang memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan karya berkualiti.
"Saya bersyukur kerana dalam setiap perjalanan kerjaya selama ini berpeluang bertemu dengan ramai orang daripada yang berpangkat tinggi hingga ke peringkat yang lebih rendah, satu pengalaman yang amat berharga,” jelas beliau lagi.
Anak emasBagi yang mengikuti perjalanan beliau, pasti tahu bekas pramugari itu tidak seperti segelintir pengacara lain yang suka ‘lompat‘ dari sebuah syarikat kepada syarikat penyiaran lain. Justeru, kepada tuan punya badan, penulis ajukan perkara tersebut, adakah beliau anak emas kepada TV3 atau ada sebab lain yang membuatkan dirinya tidak betah meninggalkan stesen penyiaran tersebut.
"Saya ini ada fikiran ‘old school‘ yakni perasaan terhutang budi dengan TV3 dan itu menjadi salah satu faktor mengapa terus setia di sini, malah banyak ruang dan peluang untuk saya menunjukkan bakat selain dibukakan pintu rezeki untuk membantu ahli keluarga saya,” ujarnya lagi.
Pun demikian, seiring dengan perkembangan zaman, beliau turut terkena tempias dalam soal saingan dalam dunia penyiaran yang semakin sengit, terutamanya dengan munculnya bakat-bakat baharu.
Jujur empunya diri mengakui tidak menganggap sebagai pesaing, sebaliknya Fiza melihat kehadiran mereka sebagai satu peluang untuk dirinya terus berkembang.
"Akan sampai masa saya kena lepaskan dan terima orang baharu, jadi saya tak anggap kehadiran mereka sebagai satu saingan, sebaliknya mahu seiring kerana masing-masing ada kelebihan dan bakat. Bahkan, saya suka jika dapat gilap bakat-bakat baharu ini,” ujarnya.
Beliau juga memahami bahawa, untuk kekal relevan dalam industri, seseorang perlu melabur untuk diri sendiri dalam menjaga penampilan.
Kata Fiza, asalkan ada usaha dan ingin terus belajar agar dapat beradaptasi dengan perubahan selera penonton yang semakin berubah.
"Dalam hal ini, saya melihat penggunaan media sosial memang penting. Kalau diikutkan dalam usia sekarang memang malas tapi ia perlu ada untuk ‘tackle‘ penonton baharu. Cuma, pada saya populariti tidak boleh dicapai semata-mata dengan mengandalkan pada media sosial. Ia perlu disertai dengan kredibiliti, bakat, dan usaha berterusan.
"Jika seseorang itu hanya terkenal kerana penampilan luar atau populariti sementara, kejayaan tersebut tidak akan bertahan lama. Sebab itu, saya terus berusaha untuk memanfaatkan peluang yang ada dan terus berhubung dengan penonton melalui platform digital yang semakin berkembang,” ujar Fiza lagi.
Tutup bicara akan soal karier, perbualan kami kemudiannya menjurus kepada sisi peribadinya.
Selain daripada kerjaya, kehidupan peribadi Fiza juga sering menjadi perhatian. Beliau telah hidup selama lebih 10 tanpa gelaran isteri, namun dirinya percaya bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Tuhan.
"Bohonglah andai kata saya tiada keinginan itu (kahwin semula). Saya pun nak ada anak, keluarga sendiri macam orang lain. Cuma mungkin bahagian (jodoh) saya belum sampai. Semuanya atas urusan DIA di atas.
"Lagipun saya punya komitmen, tanggungjawab yang belum selesai dan itu salah satu sebab sehingga kini belum diberi pasangan,” ujar Fiza sambil tertawa.
Diusik dengan persoalan mungkin soal ‘high maintenance‘ dan terlalu memilih punca belum menemui pengganti, ini jawapan Fiza.
"Ya, betul saya tak nafikan (ketawa). Cuma kalau bercakap soal itu (memilih) ia subjektif kerana semua orang mahukan yang terbaik, waima memilih ikan di pasar pun, mesti mahukan yang betul-betul segar dan elok. Betul tak?
"Lagipun, jadual kerja yang padat termasuk hujung minggu, jadi seseorang itu benar-benar memahami kerjaya saya. Walaupun mungkin saya tak banyak masa seperti orang lain, tetapi kalau nak, saya boleh cuba adakan (masa) tersebut,” ujarnya lagi.
Penampilan diri
Seperti kebanyakan selebriti yang sering dihujani dengan komen-komen yang kurang menyenangkan, demikian juga dengan Fiza.
Justeru, sebelum tirai perbualan dilabuhkan, penulis sempat melontarkan pertanyaan mengenai cara beliau menangkis komen-komen negatif terhadap dirinya.
Tegas Fiza, walaupun ada masanya kata-kata yang diterima menyakitkan, namun memilih untuk tidak mengambil hati.
"Saya percaya semua orang sedang berjuang dengan pertempuran mereka sendiri, jadi saya tidak mahu terlalu memikirkan komen negatif.
"Kita semua harus percaya bahawa kecantikan dan kebahagiaan datang dalam pelbagai bentuk dan cara, jadi saya lebih fokus untuk tonjolkan bakat dan kemahiran yang ada daripada mengambil kisah kata-kata orang yang tidak membina,” ungkap beliau lagi.
Dedah Fiza, pernah sebelum ini dirinya dikecam tidak cantik, hitam dan sebagainya.
"Dulu memang saya tak suka mekap atau bersiap bila nak keluar lebih-lebih lagi pakai lipstik sejak bergelar pramugari lagi, tetapi bila jadi pengacara, arwah kakak selalu tegur bab jaga penampilan setiap kali nak keluar rumah.
"Cuma mungkin kalau ada komen tentang tubuh nampak berisi, jadi saya ambil teguran tersebut dan cuba kuruskan badan kerana mahu nampak elok bila keluar TV.
"Bukan semua orang dilahirkan dengan kulit putih mulus, jadi tak perlu nak ubah diri kita kerana orang lain. Paling penting bahagia dengan cara kita, tak perlu ikut orang lain,” tegas beliau lagi.