SWEETNYA momen menyambung pengajian bersama insan yang dicintai. Lebih istimewa lagi apabila kedua-duanya menempa sejarah menerima ijazah PhD serentak di universiti dalam upacara konvokesyen di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Segak menyarung jubah dan bonnet konvokesyen, Dr Mohd Shahridwan Ramli, 36, berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah Pendidikan Matematik bersama isteri tersayang, Dr Siti Wan Aminah Wan Norudin, 36.
"Impian kami untuk belajar dan graduat bersama kini menjadi kenyataan,” ujar Shahridwan.
Jika dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Menerusi hantaran Facebook UPM, pasangan itu mengakui berdepan cabaran jarak dan tugas sebagai ibu bapa.
Mengakui cabaran berliku telah ditempuh, segala masalah diselesaikan dengan baik dan mereka saling menyokong serta gigih membahagikan masa.
Warga maya mengucapkan tahniah buat pasangan itu dan menjadikan kejayaan mereka sebagai inspirasi.
"Alhamdulillah..sejambak tahniah buat pasangan ini. Boleh dijadikan sumber inspirasi."
"Tahniah untuk anda berdua. Semoga terus cemerlang."
"Subhanallah...tahniah Dr Shah dan isteri...anda sememangnya hebat."
Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia ke-48 Sidang 2 berlangsung pada 30 November hingga 6 Disember 2024 bertempat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM menyaksikan seramai 6,056 graduan akan menerima ijazah dan diploma masing-masing.